UiTM Perak Laksana Pengajaran Kolaboratif Pupuk Kemahiran Abad ke-21

SERI ISKANDAR, 27 November 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah melaksanakan program pengajaran dan pembelajaran secara kolaboratif di Bengkel Gunasama. Program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari ini melibatkan 50 pelajar Diploma Ukur Bahan (CFAP114).

Program ini menggunakan Model 2 kolaborasi, iaitu antara pensyarah dari fakulti yang sama tetapi program yang berbeza. Profesor Madya Dr. Sallehan Ismail dari Program Teknologi Pembinaan menyampaikan pengajaran yang berfokus pada asas bahan kepada struktur bangunan, khususnya Reinforced Concrete di bawah kod kursus QSA202 Construction Technology III.

Pengajaran dan pembelajaran Abad ke-21 menekankan empat perkara utama iaitu komunikasi, pemikiran kritikal, kolaborasi, dan kreativiti. UiTM mempunyai pensyarah dengan pelbagai kepakaran dan kemahiran, menjadikan kepelbagaian ini sebagai keistimewaan. Program ini mencapai sinergi kepakaran, hubungan mentor-mentee antara pensyarah, pengoptimuman sumber dari segi masa dan kos, serta perkongsian keperluan fasiliti.

Dalam jangka masa panjang, pengajaran kolaboratif ini juga merangkumi kerjasama antara kampus atau universiti, memberi peluang kepada pelajar daripada latar belakang yang berbeza untuk memperolehi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna. Ia juga memberi peluang kepada pensyarah untuk berinovasi dalam pengajaran dan pembelajaran.