Kursus Pengendalian Makanan

Puncak Alam, November 2024 – Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS), Fakulti Sains Kesihatan Sesi 2023/2024, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Kursus Pengendalian Makanan pada peringkat persatuan. Kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dietetik Tahun 1 dan Tahun 2 dalam pengendalian makanan, memastikan mereka memperoleh pemahaman mendalam serta kemahiran praktikal yang relevan dengan subjek Semester 4. Selain itu, kursus ini memperkenalkan amalan terbaik dan piawaian industri dalam pengurusan makanan, termasuk aspek keselamatan, kebersihan, dan pematuhan peraturan. Sebagai pengiktirafan pencapaian, pelajar yang berjaya menyertai dan menamatkan kursus akan diberikan sijil rasmi, membuktikan pencapaian akademik dan kemahiran praktikal mereka.

Seramai 16 orang ahli jawatankuasa program dan 100 orang peserta telah terlibat bagi menjayakan kursus ini. Kursus Pengendalian Makanan ini telah dijalankan secara atas talian melalui platform Zoom Meeting. Kursus ini mempunyai lima sesi dan telah berlangsung selama tiga hari. Sesi pagi bermula pada jam 8:30 pagi sehingga 12:30 tengahari, manakala sesi petang berlangsung pada jam 2:00 petang hingga 6:00 petang. Kursus ini dikendalikan oleh penceramah jemputan yang berpengalaman dan mempunyai lesen dalam bidang pengendalian makanan iaitu Puan Ikhfa Binti Musa dari Syarikat Falis Intelek.

Melalui Kursus Pengendalian Makanan ini, para peserta telah mendapat pendedahan yang menyeluruh tentang teknik pengendalian makanan yang betul serta amalan yang memenuhi piawaian industri. Dengan bimbingan daripada Puan Ikhfa Binti Musa, penceramah jemputan yang berpengalaman, peserta berpeluang memahami prosedur keselamatan dan kebersihan makanan dengan lebih mendalam. Program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman, dan mengukuhkan kefahaman mereka melalui sesi soal jawab interaktif. Penglibatan aktif sepanjang kursus ini berjaya meningkatkan keyakinan peserta untuk mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh dalam situasi sebenar.