Program Antarabangsa SULAM Anjuran Pelajar Semester Akhir Pengurusan Taman dan Alam Bina, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM Shah Alam Beri Inspirasi di Panti Asuhan Sayyidah Adawiyah, Padang, Indonesia

Padang, 10 Disember 2024 – Pelajar semester akhir Pengurusan Taman dan Ameniti, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berjaya menganjurkan Program Antarabangsa SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) di Panti Asuhan Sayyidah Adawiyah, Padang, Indonesia, dari 8 hingga 10 Disember 2024. Program ini melibatkan penyertaan 25 orang pelajar semester akhir UiTM dan tiga orang pensyarah pengiring yang bekerjasama dengan 26 orang kanak-kanak panti asuhan serta lima orang ibu guru panti.

Program ini bertujuan untuk memberi inspirasi, pendidikan, dan pemberdayaan kepada kanak-kanak yang berasal daripada pelbagai latar belakang, termasuk anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi pembelajaran interaktif, bengkel motivasi, seni dan kraftangan, serta persembahan budaya yang memupuk kemahiran dan kerjasama.

Program ini bukan sekadar berkongsi ilmu, tetapi juga mencipta kesan bermakna dalam kehidupan kanak-kanak ini sambil memperkukuhkan pemahaman silang budaya dalam kalangan pelajar UiTM yang terlibat.

Penutup kepada program ini mempertontonkan persembahan istimewa dan pertukaran hadiah antara peserta UiTM dan kanak-kanak panti asuhan untuk melambangkan ikatan erat yang terjalin sepanjang tiga hari program berlangsung. Sumbangan bag sekolah dan alat tulis telah diserahkan oleh setiap seorang pelajar UiTM sebagai mentor kepada anak-anak dari Panti Asuhan. Manakala sumbangan berupa wang tunai telah diserahkan terus kepada Pengetua Panti Asuhan Sayyidah Adawiyah.

Program ini turut mendapat liputan daripada Sumbar TV dan boleh ditonton di saluran YouTube yang menekankan kolaborasi positif antara UiTM dan Panti Asuhan Sayyidah Adawiyah. Kedua-dua pihak berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memperkukuhkan jalinan pendidikan dan pemberdayaan komuniti merentasi sempadan.