Puncak Alam, 7 Disember – Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, telah menganjurkan program tanggungjawab sosial universiti (USR) bertemakan “Senaman Antenatal: Kesihatan dan Kesejahteraan Ibu Hamil.” yang turut ditaja oleh Pantai Integrated Rehab (PIR), Cikbee Kids SDN BHD dan Physiogo SDN BHD. Program kali ini memberi tumpuan kepada kepentingan senaman antenatal dan pemakanan yang seimbang bagi menyokong kesihatan ibu dan bayi.
Program ini disertai oleh 20 orang ibu hamil bersama pasangan. Selain senaman antenatal yang membantu mengurangkan ketidakselesaan seperti sakit pinggang dan kejang kaki, peserta turut didedahkan kepada pemakanan yang sihat bagi membantu ibu menjalani kehidupan lebih sihat sepanjang kehamilan juga mengurangkan risiko komplikasi kenhamilan. Penyusuan susu ibu secara eksklusif turut didedahkan kepada ibu hamil sebagai persediaan awal sebelum bersalin.
Menurut penasihat program, Dr. Nur Farhana Md Yunus, “Kedua-dua elemen iaitu senaman dan pemakanan adalah sangat penting bagi memastikan kesejahteraan ibu hamil. Manakala, penyusuan susu ibu secara eksklusif diberikan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan susu ibu bukan sahaja kepada bayi tetapi untuk kesihatan ibu juga, selain itu para ibu hamil dapat membuat persediaan awal dari segi mental dan fzikal bagi merealisasikan penyusuan eksklusif” katanya.
Puan Rozita Hani Mohd Haris, pengarah program, berkata, “Pemakanan yang betul adalah asas untuk perkembangan bayi yang sihat dan membantu ibu kekal bertenaga. Kombinasi senaman dan pemakanan sihat memastikan ibu bersedia sepenuhnya untuk proses kelahiran.”
Ceramah tentang pemakanan semasa hamil disampaikan oleh Puan Norashima Rajab, Pegawai Dietetik di mana para peserta diberi panduan tentang keperluan nutrisi penting bagi ibu hamil. Mereka juga diajar cara merancang pemakanan seimbang untuk mengurangkan risiko sepanjang kehamilan.
Selain pemakanan, program ini turut menekankan kepentingan laktasi. Ceramah tentang penyusuan susu ibu disampaikan oleh Puan Nur Farah Izzati, kaunselor penyusuan berdaftar, yang memberi panduan praktikal seperti teknik lekapan yang betul dan pengurusan stok susu ibu. “Kami ingin ibu memahami bahawa penyusuan susu ibu bukan sahaja penting untuk bayi tetapi juga untuk kesihatan ibu. Ia membantu mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari, serta membantu pengecutan rahim selepas bersalin,” ujar beliau
Program kali ini menawarkan sesi senaman ibu hamil menggunakan gym ball. Aktiviti ini merangkumi senaman regangan, mobiliti dan kekuatan otot. Sesi senaman ini dikelolai oleh Puan Siti Asmahani dan Puan Afiqah Najihah, fisioterapis Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) yang merupakan alumni fisioterapi UiTM.
Joanne Shalini, 37, peserta program, berkongsi, “Selain senaman, saya kini faham betapa pentingnya pemakanan seimbang dan penyusuan susu ibu. Program ini sangat lengkap dan memberi panduan berguna.”
Nazatul Nur Shafiqa, 21, berkata, “Sebagai ibu pertama kali, maklumat tentang pemakanan dan laktasi sangat membantu. Saya rasa lebih bersedia untuk menyusukan bayi saya.”
Encik Romizan,Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam, telah menutup program Senaman Antenatal Sesi 2 dengan menyampaikan ucapan penghargaan. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Pengajian Fisioterapi atas anjuran program ini, kepada semua peserta yang hadir, serta kepada penaja-penaja yang terdiri daripada Pantai Integrated Rehab, Cikbee SDN BHD, dan PhysioGO SDN BHD. Tanpa sokongan semua pihak ini, program ini tidak akan berlangsung dengan jayanya. Sebelum mengakhiri majlis, beliau turut menyampaikan cenderahati gym ball kepada para peserta.
Pusat Pengajian Fisioterapi, FSK, UiTM Puncak Alam, merancang untuk memperluaskan program ini ke kawasan lain dan mengadakan sesi susulan khusus untuk ibu selepas bersalin, yang menumpukan pemulihan fizikal, pemakanan selepas bersalin, dan sokongan laktasi. Melalui inisiatif ini, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam berharap dapat terus menyokong kesejahteraan ibu dan bayi melalui pendidikan kesihatan.