Karnival STEM 2024: UiTM dan Sekolah Menengah Berganding Bahu Tingkatkan Minat STEM

Kuala Langat, 28 November 2024 – Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor menjadi lokasi bersejarah bagi penganjuran Karnival STEM 2024 (Science, Technology, Engineering and Mathematics) pada 28 November 2024, hasil kerjasama antara pelajar Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dan komuniti setempat daerah Kuala Langat, Selangor. Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) ini berjaya menarik penyertaan lebih daripada 200 pelajar sekolah menengah sekitar daerah Kuala Langat dengan pelbagai aktiviti interaktif bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Aktiviti utama termasuk pertandingan membina model jambatan (STEMStruct: Crafting Bridges, Building Futures), pameran interaktif berkaitan STEM seperti sistem reka bentuk dan pembinaan sistem penapisan air (Clean Water, Bright Future: The Science of Water Quality), penggunaan theodolite dalam bidang kejuruteraan dan pengukuran geospatial (Theovision: Navigating the World of Theodolites), aplikasi penyambungan dan penggunaan blok elektronik di bawah aktiviti STEM4Fun: Exploring World of Engineering, demonstrasi berkaitan pengurusan dan pengawalan banjir (Smart Solutions For Flood Risks: The Role of STEM), dan penanaman pokok di bawah aktiviti Glow-Up Environment: Growing for a Cleaner . Program ini turut menonjolkan nilai-nilai Sustainable Development Goals (SDG), seperti SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan).

“Karnival ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada pelajar mengenai ilmu STEM, malah memupuk kreativiti dan semangat kerja berpasukan,” kata Muhammad Faez Iskandar, Pengarah Program. Tambahan pula, aktiviti seperti penanaman pokok oleh Glow-Up Environment berjaya mendidik pelajar tentang penjagaan alam sekitar.

Pensyarah dari UiTM dan beberapa wakil industri termasuk dari Pusat Kawalan SMART, JPS Malaysia, Jabatan Kerja Raya Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Langat,  River Care Associates Sdn Bhd dan wakil dari Gadang Holdings turut hadir sebagai penceramah dan panel juri, menjadikan program ini platform holistik untuk pembelajaran dan inspirasi.

“Program ini berjaya menghubungkan pelajar UiTM dengan masyarakat dan memberikan impak besar kepada pendidikan STEM di Malaysia,” tambah Ts. Mohamad Afizi bin Jamadin, salah seorang tetamu kehormat dari River Care Associates Sdn Bhd.

Melalui pelaksanaan aktiviti berimpak tinggi, Karnival STEM 2024 membuktikan keberkesanan pendekatan program SULAM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga prihatin terhadap komuniti.

Penulis
Ir Ts Dr Nuryazmeen Farhan Haron (Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Shah Alam)
Dr Intan Shafeenar Ahmad Mohtar (Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM CawanganPulau Pinang)
Dr Noraini Mat Budari (Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Cawangan Jengka)