PLUS Malaysia Dan BEVA, Rakan Strategik Perlaksanaan Hari Ozon Sedunia 2024 Peringkat Negeri Sembilan

SEREMBAN, 26 Oktober 2024 – Sambutan Hari Ozon Sedunia 2024 Peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan bersama PLUS Malaysia dengan kerjasama Pelajar semester akhir program AM226 dan Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA)  telah diadakan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah Selatan bermula 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Objektif utama program tersebut adalah untuk memberikan kesedaran kepada orang awam terutamanya kepada pengunjung R&R mengenai kepentingan menjaga lapisan ozon bumi serta impak penipisan ozon kepada alam sekitar dan kehidupan di bumi.

Pengisian Sambutan Hari Ozon Sedunia 2024 yang bertemakan “Montreal Protocol: Advancing Climate Action” pada tahun ini tambah menarik melalui pameran akademik dan tindakan advokasi yang dijalankan oleh pelajar-pelajar semester akhir program AM226. Para pelajar telah menyediakan reruai pameran yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan memberikan fokus kepada isu penipisan ozon. Diantara aktiviti yang dijalankan direruai terbabit adalah permainan susun suai gambar, pembinaan model bandar lestari, aktiviti “plastic fusing” dan pameran bergambar berkaitan haiwan terancam. Pada masa yang sama, pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan juga telah membuka reruai pameran dan menjalankan pemeriksaan asap lori tanpa kompaun yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan asap karbon serta bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan melindungi lapisan ozon.

Melalui program ini juga, YB Tuan Veerapan A/L Superamaniam, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan telah memuji pameran yang disediakan oleh para pelajar FSPPP dan menyatakan bahawa ianya amat berkesan dalam memberikan pendidikan dan pendedahan berkaitan isu penipisan ozon yang semakin meruncing. Secara keseluruhannya, penyertaan BEVA didalam sambutan Sambutan Hari Ozon Sedunia 2024 Peringkat Negeri Sembilan telah menyumbang kepada pelaksanaan SDG11 (Sustainable Cities and Communities), SDG12 (Responsible Consumption and Production), SDG13 (Climate Action), SDG14 (Life Below Water), SDG15 (Life on Land) dan SDG17 (Partnership for the Goals). Penyertaan warga UiTM didalam program seperti ini juga dapat membawa pelaksanaan agenda kelestarian universiti keperingkat yang lebih tinggi melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pemegangtaruh yang berkaitan.

Penulis : Nur Liyana Binti Hussin, Nur Darina Arissha binti S. Adi Putera, Mohd Idham Mohd Yusof