Champion Student Esports League 2024: Penganjuran Berjaya Merancakkan Dunia E-Sukan di UiTM Cawangan Negeri Sembilan

Rembau, 20 November 2024 – Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (PJIM&A) UiTM Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) dengan kerjasama Delonix Esport Club, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, dan PTAR UiTMCNS telah berjaya menganjurkan Champion Student Esports League 2024, satu kejohanan e-sukan yang amat berprestij dalam kalangan pelajar UiTMCNS. Kejohanan ini telah dilaksanakan di kesemua kampus UiTMCNS, dengan peringkat saringan yang diadakan di setiap kampus iaitu Kuala Pilah, Seremban 3, dan Rembau mengumpulkan juara-juara untuk beraksi di peringkat akhir melalui Grand Final Battle Arena yang telah berlangsung di Dewan Biduanda, UiTMCNS Kampus Rembau pada 9 November 2024. Pertandingan ini menyaksikan penyertaan lebih daripada 500 peserta yang bertanding dalam pelbagai permainan e-sukan terkemuka seperti EFootball Mobile, FC24 Console, Players Unknown Battleground Mobile (PUBG), dan Mobile Legends Bang Bang (MLBB).

Kejohanan ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada para pelajar, dan turut menerima sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuk penajaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esport Integrated (eSI), dan Celcom Digi. Jumlah tajaan keseluruhan sebanyak RM25,000, termasuk tawaran prizepool RM15,000, menjadikan kejohanan ini lebih berprestij dan memberi motivasi kepada para peserta untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memperolehi kemenangan. Selain itu, penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar terlibat dalam industri e-sukan yang semakin berkembang, serta menyediakan platfom untuk mereka mengasah kemahiran dalam dunia digital dan permainan kompetitif.

Keberhasilan kejohanan ini juga tidak terlepas daripada sokongan dan penglibatan aktif pihak universiti, yang komited dalam memajukan industri e-sukan dalam kalangan mahasiswa. Dalam acara tersebut, para peserta bukan sahaja diuji dari segi kemahiran bermain dan persaingan yang sihat, tetapi juga diberikan peluang untuk berinteraksi dengan industri dan membina rangkaian yang berguna untuk kerjaya masa hadapan mereka. Melalui acara seperti ini, UiTMCNS berharap dapat mencungkil lebih ramai pelajar yang berbakat dalam bidang e-sukan serta membangunkan lebih banyak peluang untuk kerjasama antara universiti dan industri.

Kejohanan ini turut disempurnakan dengan kehadiran YBhg. Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti & Alumni UiTM, yang telah bersama-sama memeriahkan program dan turut beramah mesra bersama para pelajar, pihak penganjur, dan pihak penaja yang hadir pada hari tersebut. Kehadiran beliau menambahkan kemeriahan acara ini, sekaligus menunjukkan komitmen universiti terhadap pembangunan sukan elektronik dan sokongan mereka terhadap para pelajar dalam mencipta peluang serta pencapaian dalam bidang yang semakin berkembang ini. Dengan kejayaan Champion Student Esports League 2024, UiTMCNS berharap untuk terus menggalakkan penyertaan pelajar dalam acara serupa pada masa akan datang, serta terus mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem e-sukan negara.

DR. MUHAMMAD AIDIL  IBRAHIM DAN SITI ZAHARAH MOHD RUSLAN