Program CSR @ Kusta: Kusta Bukan Penyakit Kutukan, anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan Unit Residensi & Hospitaliti Pelajar (URHP)

9 November 2024 – Kusta Bukan Penyakit Kutukan anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan URHP UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan telah diadakan di Dewan Communal, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN).
Program ini adalah sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan menyantuni komuniti pesakit kusta di PKKN. Ia merupakan kolaborasi antara JPK dan URHP UiTM Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh bersama beberapa agensi seperti Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Hospital Sungai Buloh, Malaysia Dental Association (MDA), Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Cosmodem dan Fakulti Pergigian UiTM.
Pengarah program, saudara Azrai Sazwan YDP JPK dan penasihat program Dr. Norhasnida Nordin telah berjaya menjadikan program ini sebagai program CSR terbaik melalui kerjasama antara UiTM Kampus Sungai Buloh bersama agensi luar, kementerian kesihatan, serta komuniti setempat dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang pendidikan kesihatan.
Seramai 110 orang peserta terlibat, terdiri daripada 56 pelatih ILKKM dan 54 pelajar fakulti perubatan dan pergigian, yang menjalani aktiviti bersama pesakit kusta di wad PKKN. Program ini dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Sr. Dr. Rosmadi Ghazali, Timbalan Rektor Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (iCARE).
Program ini menyediakan peluang bagi para peserta meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai penyakit kusta serta membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap komuniti setempat.