ALOR GAJAH, 24 Oktober 2024 – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Cawangan Melaka menganjurkan Program MassComm Sharing@UiTM bersama Pembimbing Rakan Siswa (PRS) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di Interactive Media Smart Classroom, Bangunan KPP3, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah ini diselia oleh Persatuan Pelajar FKPM iaitu IPRMSA di bawah pengawasan Encik Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah.
Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Hj. Ridzuan, Ketua Pusat Pengajian FKPM, turut hadir memberikan kata-kata aluan. Koordinator Program FKPM, Puan Siti Nur Farrah Faadiah Ab Ghani turut menyertai majlis tersebut. Pihak IPG Kampus Tun Hussein Onn diwakili oleh Dr. Izwan dan Cik Nizatuledayu Jamai.
Program yang berlangsung sepenuh makna ini merangkumi pelbagai aktiviti termasuk ucapan aluan, perkongsian ilmu daripada tiga penceramah FKPM – Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Encik Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah dan Puan Siti Hajar Abd Aziz, sesi soal jawab, pertukaran cenderahati, sesi fotografi dan jamuan ringan.
Menurut Ketua Pusat Pengajian FKPM UiTM Cawangan Melaka, ini merupakan program pertama yang dijalankan bersama IPG dan bakal menjadi titik permulaan kepada kolaborasi masa hadapan.
Antara topik utama yang dibincangkan termasuk penyiaran berita dan ilmu kewartawanan, pengurusan krisis media, serta penjenamaan organisasi dan peningkatan imej melalui media.
Pihak pengurusan FKPM menekankan keterbukaan mereka terhadap kerjasama antara institusi, yang bertujuan untuk memudahkan pertukaran pengetahuan, penyelidikan, dan inovasi yang melibatkan komuniti pelajar dan masyarakat setempat.
Penulis: Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah, Siti Hajar Abd Aziz, Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Hj. Ridzuan, Siti Nur Farrah Faadiah Ab Ghani