26 Oktober 2024 – Unit Sains Komputer Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil telah berjaya melangsungkan program Arduino Showcase 2024. Program ini adalah sebuah program tahunan yang dijalankan atas usaha para pensyarah Unit Sains Komputer dibantu oleh sukarelawan pelajar daripada Asasi Kejuruteraan dan Asasi Undang-Undang.
Dua sesi selari ceramah telah disampaikan oleh pakar dari industri iaitu Encik Mohd Firdaus Mohamed Khairi, Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Inkubator,Kementerian Digital Negara serta Dr. Saaidil Razali Bin Azzuhri, yang merupakan seorang pensyarah kanan dan penyelidik dalam bidang “Computer Wireless Networks” di Jabatan Sistem Komputer & Teknologi , Universiti Malaya. Sesi selari ini melibatkan hampir 300 orang pelajar dari pelbagai program Asasi menyaksikan ceramah yang berkisar tentang masa depan pendigitalan negara melalui inovasi, manakala satu lagi ceramah berkenaan evolusi teknologi 5G dan Internet of Things (IoT) di Malaysia.
Program Arduino Showcase 2024 juga menganjurkan satu pertandingan projek Arduino yang melibatkan 38 kumpulan di kalangan pelajar Asasi Kejuruteraan. Pertandingan ini diadili oleh 21 orang juri jemputan daripada industri, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Pertandingan projek Arduino yang dijalankan telah menyaksikan pelbagai projek menarik daripada para pelajar. Pemenang tempat pertama telah menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM200.00 berserta hamper dan sijil, diikuti tempat kedua dengan RM150.00 dan tempat ketiga dengan RM100.00 berserta hamper dan sijil. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dr. Khaniza Hasliza Abdul Khalil, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Akademik, Penyelidikan & Inovasi), Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil.
Program ini diharapkan akan memberi manfaat kepada semua pelajar Asasi Kejuruteraan dan menjadi platform bagi memupuk minat dalam bidang teknologi dan inovasi, khususnya kepada semua peserta program.