Lawatan Penanda Aras PKAUPM ke MITASA

29 Ogos 2024 –   Persatuan Pegawai Akademik Universiti Putra Malaysia (PPAUPM) telah mengadakan lawatan penanda aras di Pejabat Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA). Tujuan lawatan adalah untuk melihat sendiri operasi MITASA sebagai kesatuan sekerja yang mewakili kakitangan akademik UiTM. PPAUPM sedang dalam usaha untuk mengujudkan sebuah kesatuan sekerja di UPM.

Pihak MITASA melihat usaha tersebut sebagai satu keperluan dan sedia membantu dalam usaha ke arah penubuhan kesatuan sekerja tersebut. PPAUPM telah diwakili oleh Presiden persatuan, Profesor Dr Jalila Abu dan Setiausaha Kehormat, Profesor Madya Dr Sharifah Norkhatijah binti Syed Ismail. Presiden MITASA, En. Saharuddin bin Lin telah menyambut kehadiran dari UPM tersebut bersama barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi MITASA. Di dalam lawatan tersebut pihak PPAUPM banyak bertanya berkaitan usaha-usaha ke arah penubuhan kesatuan dan isu samada persatuan sediada perlu dibubarkan.

MITASA telah ditubuhkan pada 12hb April 1972. Sesuai dengan usia penubuhannya, MITASA telah dijadikan rujukan oleh pihak PPAUPM untuk menubuhkan kesatuan sekerja di UPM. Di UiTM terdapat tiga organisasi yang bergerak mewakili kakitangan UiTM iaitu MITASA yang mewakili kakitangan akademik gred DM29 – gred DM56. Organisasi kedua ialah Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM) yang mewakili kakitangan sokongan dan Persatuan Kakitangan Akademik UiTM (UTIMAS) yang mewakili kakitangan gred DM54 ke atas. Walaupun perjuangan terhadap kepentingan dan kebajikan kakitangan UiTM melibatkan tiga entiti berbeza tetapi ketiga-tiga entiti ini berjalan seiring dan sering bekerjasama demi kebaikan bersama. Inilah model hubungan yang cuba diperlihatkan kepada wakil PPAUPM. Tidak ada keperluan membubarkan PPAUPM apabila kesatuan sekerja tertubuh nanti. MITASA menyarankan PPAUPM dikekalkan terutama bagi kumpulan gred VK7 ke atas untuk berpesatuan.

Lawatan ini juga adalah hasilan daripada usaha-usaha program yang telah dianjurkan oleh MITASA bersama Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) pada 30 Oktober 2023. Program tersebut telah dilangsungkan di Kelab Shah Alam dan telah dihadiri oleh persatuan dan kesatuan akademik dari seluruh negara. Program tersebut bertujuan untuk menarik persatuan akademik universiti awam untuk menubuhkan kesatuan sekerja di universiti masing-masing. Setakat ini hanya empat universiti sahaja yang telah menubuhkan kesatuan sekerja iaitu, UiTM, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  dan yang terbaru Universiti Malaysia Sabah (UMS). Penubuhan kesatuan sekerja bagi kakitangan akademik di UMS adalah rentetan dari usaha menarik persatuan-persatuan akademik menjadi kesatuan yang telah diusahakan oleh MITASA bersama JHEKS. Jika penubuhan kesatuan sekerja di UPM berjaya maka ini adalah kesatuan kedua yang berjaya ditubuhkan hasil program tersebut.

Pihak MITASA juga telah mengariskan beberapa keperluan ke arah penubuhan kesatuan sekerja selaras dengan Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262). Di antara perkara penting ialah penubuhan jawatankuasa penaja yang boleh terdiri dari ahli-ahli PPAUPM yang layak. Seterusnya berhubung dengan JHEKS untuk menjalankan Mesyuarat Agong Pertama. Segala borang yang terlibat dengan pendaftaran dan juga prosedur undi sulit yang menjadi salah satu mekanisme pemilihan dalam akta yang perlu dipatuhi. Penyediaan perlembagaan kesatuan sekerja juga adalah penting. Siapa yang layak menjadi ahli dan bagaimana urusan mesyuarat agong dijalankan samada twitahunan atau tritahunan.

Sesungguhnya lawatan kerja ini telah menyuntik semangat PPAUPM untuk bergerak ke arah penubuhan kesatuan sekerja. Semoga hubungan yang terjalin akan membuat tanda aras kerjasama antara kesatuan sekerja universiti awam yang lain pada masa akan akan.