Kejohanan Catur Cilik UiTM Cawangan Negeri Sembilan 2024

Kuala Pilah, 26 Oktober 2024 — Pusat Pengajian Sains Komputer dan Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Matematik, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah telah menganjurkan Kejohanan Catur Cilik UiTM Cawangan Negeri Sembilan 2024. Program ini bertujuan untuk memupuk minat dan kemahiran bermain catur di kalangan pelajar sekolah rendah berumur 7 hingga 12 tahun khususnya di Kuala Pilah. Kejohanan yang berlangsung di Dewan Anjung UiTM Kuala Pilah ini bermula pada jam 8:00 pagi sehingga 5:00 petang. Sebanyak 93 peserta daripada 32 sekolah mengambil bahagian, dengan 63 peserta lelaki dan 30 peserta perempuan.

Catur merupakan permainan yang dikenali luas dengan manfaatnya dalam meningkatkan keupayaan berfikir kritis dan strategik. Melalui kejohanan ini, pelajar didedahkan kepada nilai-nilai penting seperti perancangan, penyelesaian masalah dan pengambilan keputusan yang bijak. Inisiatif ini juga melibatkan anak-anak staf UiTM Cawangan Negeri Sembilan dari tiga kampus iaitu Kuala Pilah, Seremban dan Rembau serta pelajar sekolah rendah di sekitar Kuala Pilah.

Program ini dirasmikan oleh Encik Rahmat Bin Ibrahim, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Unit Pembangunan Bakat Murid dan mendapat sokongan daripada penaja bersama seperti Klinik Arafah, Poliklinik Ayrish, dan Milenia Mortgage Resources. Program ini dibantu oleh Encik Radi Azahan Bin Razali selaku Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan Catur Daerah Kuala Pilah bersama pelajar-pelajar dari UiTM Kampus Kuala Pilah dan Persatuan Kelab Cybermath yang memberikan sokongan dan bantuan dalam menguruskan pelbagai aktiviti sepanjang kejohanan.

Kejohanan ini menyaksikan persaingan sengit di antara peserta. Dalam kategori lelaki bawah 12 tahun, Nilesan A/L Balachandran dari Sekolah Kebangsaan Yamtuan Antah dinobatkan sebagai pemenang pertama dan membawa pulang wang tunai RM100. Pemenang kedua, Muhammad Umar Hadziq Bin Syaifulnizam dari Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah dan Muhammad Haris Aiman Bin Mohd Ridzuan dari Sekolah Kebangsaan Padang Lebar meraih tempat ketiga.

Bagi kategori perempuan bawah 12 tahun, Afiqah Nur Husna Binti Mohd Azhar dari Sekolah Kebangsaan Tunku Munawir menerima wang tunai RM100 sebagai pemenang pertama. Pemenang kedua, Nur Mia Danisyah Binti Mohd Shahedan dari Sekolah Kebangsaan Dato’ Inas dan pemenang ketiga, Siti Aura Mahfuzah Binti Nur Azli dari Sekolah Kebangsaan Ulu Bendul, turut mencuri perhatian.

Kejohanan Catur Cilik ini bukan sahaja bertujuan untuk mencungkil bakat muda dalam permainan catur tetapi juga untuk membina keyakinan diri dan semangat kesukanan di kalangan pelajar. Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar mengasah kemahiran mereka dalam permainan catur.