Shah Alam, 17 September 2024 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Meranti dan Seroja dari UiTM Cawangan Shah Alam berjaya menembusi pentas global menerusi ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation 2024 yang memfokuskan aktiviti kesukarelawanan di Malaysia dan Thailand bermula 14 September 2024 hingga 17 September 2024.
Dengan sokongan penuh daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM terutamanya Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, program ini telah dirasmikan oleh Dr. Firdaus Mohamad, Pengetua Kolej Meranti dan Seroja, di dua lokasi utama: Persatuan Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYP) dan Masjid Ban Nuea, Songkhla, Thailand. Dr. Firdaus menerusi ucapannya menegaskan bahawa program ini bukan sahaja memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan tetapi juga bertujuan menanam nilai kesukarelawanan dalam kalangan peserta. Objektif ini adalah selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan hasrat Kerajaan Malaysia Madani dalam memperkasakan mahasiswa bermutu tinggi.
Antara aktiviti yang menjadi tonggak program ini adalah Equaducation yang menggabungkan elemen pendidikan berkualiti dan pembangunan kemahiran sosial. Dalam aktiviti ini, peserta kesukarelawanan bersama anak-anak yatim melibatkan diri dalam pelbagai permainan berkumpulan yang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, dan semangat kerjasama. Tambahan lainnya adalah projek Mini Library yang dijalankan di PKAYP dan Masjid Ban Nuea memberi tumpuan kepada memperkukuhkan akses pendidikan untuk anak-anak yatim. Dengan kerjasama para peserta, perpustakaan mini ini disediakan dan dilengkapi dengan buku-buku sumbangan orang ramai. Perpustakaan ini dirasmikan oleh Dr. Firdaus bersama Dato Mohd Zain Hamzah di PKAYP, dan di Masjid Ban Nuea oleh Dr. Tabrani Abdul Latif serta Dr. Ghazali, Pengerusi Sekolah Masjid Ban Nuea. Langkah ini mencerminkan komitmen UiTM dalam
menyokong pendidikan yang menyeluruh dan memastikan anak-anak yatim mendapat akses kepada bahan pembelajaran yang meluas.
UiTM menunjukkan keterbukaan terhadap kerjasama di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan Rajamangala University of Technology Srivijaya, satu aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) telah dilaksanakan, iaitu pelepasan anak ketam di Pantai Samilla, Thailand. Aktiviti ini bertujuan memulihkan populasi ketam biru sebagai usaha memelihara ekosistem laut dan mencegah pemanasan global. Taklimat tentang pentingnya pemuliharaan ekosistem ini disampaikan oleh Wirote Kongongsa dari Southern Gulf Fisheries Research and Development Center (Songkhla) serta Chumnan Manil, penasihat Blue Swimming Crab Bank. Aktiviti ini secara tidak langsung mengetengahkan usaha UiTM dalam memulihara alam sekitar di peringkat tempatan mahupun global.
Di akhir program ini juga menyaksikan penyerahan Boxes of Hope di Masjid Ban Nuea, yang mengandungi sumbangan seperti barangan asas, keperluan dapur, dan alat tulis kepada golongan asnaf, anak-anak yatim, serta warga emas di kawasan tersebut. Secara keseluruhannya, ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation 2024 telah berjaya memberi kesan positif kepada masyarakat dan peserta, serta memperkukuhkan nilai kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
Program ini mendapat sokongan daripada beberapa organisasi yang menyumbang barangan dan dana untuk membantu anak yatim serta golongan asnaf di Perlis dan Songkhla. Antaranya, Surau Al-Ansor menyumbangkan Al-Quran, tudung sekolah, dan wang tunai bagi keperluan anak-anak yatim. Selain itu, Kidz Studios Printing turut menyumbangkan pakaian, manakala Perpustakaan Tunku Abdul Rahman (PTAR) UiTM menyumbang bahan bacaan untuk Mini Library yang dibina bagi memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak yatim. Di samping itu, Adabi Consumer menyumbangkan kotak makanan untuk disalurkan kepada golongan asnaf dan warga emas melalui Box of Hopes. Akhir sekali, Yayasan Perkasa Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Al-Ikhsan turut menyumbang wang tunai, yang memberikan manfaat besar kepada komuniti yang memerlukan dengan menyediakan bantuan pendidikan, makanan, serta keperluan asas.