JENGKA, 22 Oktober 2024 – Bidang Geoteknik, Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA), UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah menganjurkan satu program berkaitan kod kursus Geologi yang mendapat sambutan hangat daripada para pensyarah dan pelajar. Program ini menampilkan jemputan istimewa daripada industri, iaitu Raja Nurhananee Raja Rafiuddin, seorang Jurutera Senior dalam bidang geoteknik di LR Consult Sdn Bhd.
Program ini dibahagikan kepada dua sesi utama. Sesi pertama merupakan perkongsian ilmu oleh Raja Nurhananee, di mana beliau membentangkan kepentingan geologi dalam kejuruteraan awam serta pengalaman beliau dalam melaksanakan projek-projek yang melibatkan kajian geoteknik. Sesi kedua pula berfokus kepada ujian batuan secara praktikal, yang memberi peluang kepada para pelajar untuk melihat dan mengendalikan sendiri proses-proses penting dalam ujian geologi.
Sesi pertama bertajuk “Geology Talk: Why Civil Engineers Must Learn Geology?” telah menekankan betapa pentingnya pengetahuan geologi dalam bidang kejuruteraan awam, khususnya dalam aspek rekabentuk asas bangunan dan struktur. Geologi, yang mengkaji sifat fizikal dan kimia bumi seperti batuan dan tanah, merupakan elemen penting dalam setiap projek pembinaan. Melalui perkongsian yang dibentangkan oleh penceramah berdasarkan pengalaman daripada projek-projek yang telah dilaksanakan, sesi tersebut menyoroti bagaimana pemahaman yang mendalam terhadap keadaan geologi tapak pembinaan dapat membantu jurutera awam membuat keputusan lebih tepat dan selamat. Ini menunjukkan bahawa geologi bukan sahaja penting, malah menjadi komponen asas dalam memastikan kestabilan dan keselamatan struktur dalam setiap projek pembinaan. Selain itu, sesi soal jawab turut diadakan bagi menggalakkan perkongsian interaktif antara penceramah dan peserta.
Sesi kedua diadakan dalam usaha memperkukuh pengetahuan praktikal peserta di mana sesi ‘Hands-On Activity’ yang menggunakan pelbagai jenis batuan telah dijalankan. Aktiviti ini melibatkan dua ujian utama, iaitu Point Load Test (PLT) dan Rebound Hardness Test. Para peserta berpeluang mengukur kekerasan batuan dengan lebih mendalam serta membandingkan hasil ujian terhadap jenis batuan yang berbeza, termasuk batuan igneus, sedimen, dan metamorfik. Di samping itu, aktiviti praktikal ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami secara langsung perbezaan dalam kekuatan dan ciri-ciri pelbagai jenis batuan.
Keberhasilan program ini diharap dapat meningkatkan kemahiran teknikal peserta dalam ujian batuan, di samping memberi pendedahan yang lebih mendalam tentang aplikasi geologi dalam bidang kejuruteraan awam. Program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pemahaman para peserta mengenai geologi, tetapi juga membuka ruang kepada kolaborasi lebih erat antara pihak akademik dan industri dalam bidang ini.