Program Orientasi bagi Kemasukan Pelajar Baharu Pemulihan Cara Kerja Sesi 2024/2025

Kampus Puncak Alam, 12 Oktober 2024: Persatuan Pelajar Pemulihan Cara Kerja Sesi (OTSA) 2023/2024, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya menjalankan sebuah program orientasi tahunan yang wajib dijalankan pada setiap sesi kemasukan baharu pelajar pemulihan cara kerja. Program ini dinamakan OT Squad Assemble: Orientation and Alumni Talk 2024 yang dijalankan secara bersemuka pada 12 Oktober 2024.

Program ini bermula pada pukul 8:00 pagi dan berakhir pada pukul 1:30 petang. Program ini telah disertai oleh Penasihat 1 Persatuan Pelajar Pemulihan Cara Kerja Sesi (OTSA) 2023/2024 Fakulti Sains Kesihatan, Penasihat 2 Persatuan Pelajar Pemulihan Cara Kerja Sesi 2023/2024 Fakulti Sains Kesihatan, Instruktor Klinikal Pusat Pemulihan Cara Kerja UiTM Puncak Alam dan penceramah jemputan yang juga merupakan alumni pelajar Pusat Pemulihan Cara Kerja di UiTM Kampus Puncak Alam, Cik Wan Fara Adila Binti Wan Ahmad Kaspi. Program ini terdiri daripada 28 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Pelajar Pemulihan Cara Kerja Sesi 2023/2024 yang telah ditugaskan untuk menjayakan program ini dibawah pantauan pengarah program, Nur Alya Fateha Binti Yusof. Seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada 33 pelajar Pemulihan Cara Kerja kemasukan sesi baharu 2024/2025 Semester 1 dan Semester 3 Penerapan yang telah sudi mendaftarkan diri pada hari tersebut.

Program ini dijalankan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar baharu tentang bidang Pemulihan Cara Kerja dengan lebih mendalam daripada alumni UiTM. Selain itu, dapat memperkenalkan bangunan Fakulti Sains Kesihatan serta makmal di Pusat Pemulihan Cara Kerja serta menerapkan jati diri dan keyakinan yang tinggi buat mereka, justeru meningkatkan semangat kepimpinan dan kerjasama secara berkumpulan dalam diri pelajar. Seterusnya, program ini juga dapat mengeratkan hubungan antara pelajar ambilan baharu dan pelajar Semester 3 dan Semester 5.

Program ini dimulakan dengan pendaftaran pelajar yang berada di hadapan Dewan Kuliah 2. Kehadiran pelajar disambut baik oleh kesemua ahli jawatankuasa. Setelah selesainya sesi pendaftaran, para pelajar diberikan makanan pagi dan masa sebanyak 20 minit sebelum masuk ke dalam dewan dengan tertib. Tepat pada pukul 8:30 pagi kedatangan penceramah luar Cik Wan Fara Adila bersama Dr. Husna dan Cik Annaz yang diiringi oleh pengarah program dan liaison officer ke dalam dewan. Program seterusnya dilanjutkan lagi dengan sesi nyanyian Lagu Negaraku dam Wawasan Setia Warga UiTM dimainkan. Setelah tamatnya nyanyian kedua-dua lagu, majlis perasmian dimulakan dengan bacaan doa yang diiringi oleh saudara pembaca doa, Muhammad Aliff Haikal, ucapan pengarah program dan dirasmikan oleh Penasihat 1 Persatuan Pemulihan Cara Kerja Sesi (OTSA) 2023/2024 iaitu Dr. Husna Bini Ahmad Ainuddin. Perasmian program disambut dan diraikan dengan baik oleh semua peserta yang hadir. Tayangan video selama 10 minit pula ditayangkan oleh Biro Multimedia.

Cik Wan Fara Adila Binti Wan Ahmad Kaspi merupakan seorang alumni yang telah diundang sebagai penceramah untuk slot Alumni Talk yang bertemakan “Pengalaman dan Cabaran Sebagai Pakar Pemulihan Cara Kerja”. Beliau berkongsi pengalamannya sepanjang menceburi bidang Pemulihan Cara Kerja, dari zaman belajar hingga penglibatannya sebagai seorang profesional dalam bidang ini. Cik Wan Fara Adila memulakan ceritanya dengan menjelaskan bagaimana beliau tertarik kepada bidang Pemulihan Cara Kerja, yang berkait rapat dengan membantu individu meningkatkan kualiti hidup mereka selepas mengalami kecederaan atau kekurangan fizikal. Semasa zaman pengajian, beliau menghadapi pelbagai cabaran seperti memahami teori-teori kompleks serta berhadapan dengan pesakit yang mempunyai keperluan berbeza. Namun, pengalaman klinikal semasa praktikal banyak membentuk kemahiran komunikasi dan empati beliau, yang amat penting dalam bidang ini.

Cik Wan Fara Adila juga tidak lupa berkongsi tentang cabaran-cabaran semasa yang dihadapinya sebagai seorang pakar pemulihan cara kerja, terutamanya dalam konteks dunia pasca-pandemik di mana rawatan jarak jauh atau tele-rehabilitasi semakin diperlukan. Baginya, walaupun teknologi membantu, interaksi manusia secara langsung tetap penting dalam memastikan keberkesanan rawatan. Melalui perkongsian beliau, jelas bahawa bidang pemulihan cara kerja adalah sebuah kerjaya yang penuh dengan cabaran tetapi juga kepuasan, terutama apabila dapat melihat pesakit kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik. Cik Wan Fara Adila berharap agar lebih ramai pelajar berminat untuk menceburi bidang ini, kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi juga memberikan peluang untuk pembelajaran berterusan dan perkembangan diri.

Slot eksplorasi di Foyer FSK 6 telah diadakan dengan penuh keseronokan, di mana pelbagai permainan kreatif dan interaktif disediakan untuk semua peserta. Setiap permainan direka untuk mencabar keupayaan fizikal dan mental para peserta, serta meningkatkan semangat kerjasama dalam kumpulan. Antara permainan menarik yang diadakan ialah Balut Mumia, Jalan dengan Tongkat, Baju 1 Tangan, Angkat dan Susun Cawan, Radio Rosak, dan permainan bonus Simon Says.Permainan Balut Mumia adalah antara yang paling mencuit hati. Dalam permainan ini, satu kumpulan terdiri daripada lima orang, satu pemain akan menjadi ‘mumia’ dan empat yang lain bertanggungjawab untuk membalutnya menggunakan tisu toilet. Balutan perlu bermula dari kepala hingga ke dada, namun mata dan hidung tidak boleh ditutupi. Permainan ini bukan sekadar tentang kepantasan, tetapi juga ketelitian, kerana jika tisu putus, kumpulan tersebut akan disqualified. Pemenang akan ditentukan melalui undian daripada ahli jawatankuasa, menjadikan permainan ini sangat menarik dan menghiburkan. Seterusnya, Jalan dengan Tongkat mencabar peserta dari segi kekuatan fizikal dan keseimbangan. Setiap kumpulan diberikan satu set crutches (tongkat), dan semua ahli kumpulan perlu menggunakan tongkat tersebut dengan hanya menggunakan satu kaki, iaitu kaki kiri. Secara keseluruhan, slot eksplorasi di Foyer FSK 6 ini berjaya menarik perhatian dan penglibatan semua peserta, dengan gabungan permainan fizikal, mental, dan komunikasi yang kreatif. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji kemahiran dan ketangkasan peserta, malah memupuk semangat kerjasama dan keseronokan dalam suasana yang santai dan ceria.

Selepas tamatnya aktiviti eksplorasi di Foyer FSK 6, semua peserta diberi masa untuk berehat selama 15 minit. Waktu ini digunakan untuk melepaskan penat setelah melalui pelbagai permainan yang mencabar. Suasana di sekitar dewan penuh dengan keceriaan dan gelak ketawa, sementara peserta berbual mengenai pengalaman mereka sepanjang acara. Selepas itu, acara diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah. Semua peserta berkumpul semula dengan penuh semangat, menantikan keputusan dan pemenang bagi setiap permainan. Hadiah disampaikan kepada kumpulan yang berjaya dalam permainan seperti Balut Mumia, Jalan dengan Tongkat, Baju 1 Tangan, Angkat dan Susun Cawan, serta Radio Rosak. Setiap pemenang menerima hadiah mereka diiringi sorakan dan tepukan daripada peserta lain.

Sebagai penutup, OT Squad Assemble: Orientation and Alumni Talk 2024 telah berjaya mencapai matlamatnya dalam menyatukan pelajar dan alumni Pemulihan Cara Kerja melalui aktiviti-aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mendidik dan mencabar. Program ini bukan sekadar medan untuk berseronok, tetapi juga platform untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan mengembangkan kemahiran insaniah, seperti kerjasama dan kepimpinan, yang sangat penting dalam bidang pemulihan cara kerja. Dengan pelbagai slot yang interaktif dan informatif, dari sesi ceramah inspirasi oleh alumni berpengalaman hinggalah kepada permainan yang memupuk semangat berpasukan, program ini telah memberikan impak yang besar kepada semua peserta. Setiap individu membawa pulang bukan sahaja hadiah dan pengalaman, tetapi juga rasa kebersamaan dan semangat untuk terus berjuang dalam bidang pemulihan cara kerja.