BUKIT BERUNTUNG, 19 Oktober 2024 – Program Khidmat Masyarakat hasil Keusahawanan Sosial telah dijalankan dengan jayanya oleh sebahagian pelajar tahun 2, Brush and Bites, Sarjana Muda Pembedahan Pergigian Fakulti Pergigian UiTM Sungai Buloh. Program ini merupakan sebahagian daripada program Karnival Dental Sure Havoc 3.0 yang melibatkan aktiviti keusahawanan dan khidmat masyarakat. Program ini melibatkan 4 orang penyelia yang terdiri daripada pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Praklinikal Fakulti Pergigian UiTM Fakulti Pergigian UiTM, bersama 20 orang pelajar tahun 2 Fakulti Pergigian. Meneruskan objektif yang sama dari siri pertama dan kedua, iaitu meningkatkan kreativiti pelajar dalam menjayakan idea perniagaan mereka, ditambahbaik dengan penerapan aktiviti khidmat masyarakat, program kali ini berfokuskan untuk memberi impak positif kepada masyarakat di perkampungan Orang Asli.
Aktiviti keusahawanan bermula dengan pembentangan “business model canvas” (BMC) menerusi video, berlanjutan sehingga ke Market Day, menjual pelbagai jenis makanan antaranya nasi buttermilk chicken, kuih-muih, manisan dan barangan lukisan batik. Keuntungan daripada aktiviti keusahawan ini kemudiannya disalurkan dengan menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Perkampungan Orang Asli Bukit Manchung menjadi lokasi bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan ini. Program khidmat masyarakat ini berjalan selama dua hari. Hari pertama dimulakan dengan aktiviti senam sihat, ceramah dan pameran kesihatan pergigian oleh para alumni dan pelajar Fakulti Pergigian. Aktiviti bertambah menarik dengan sesi mewarna dan membuat sandwich bersama anak-anak kampung yang bersekolah di tadika KEMAS Bukit Manchung.
Perkhidmatan pemeriksaan Kesihatan dan Pergigian turut dijalankan di Balai Raya kampung tersebut. Aktiviti ini adalah hasil kerjasama dengan Klinik Kesihatan Hulu Selangor serta para alumni Fakulti Pergigian yang sanggup turun ke padang bagi berkongsi kembali kemahiran dan ilmu bersama masyarakat orang asli di sini. Hari pertama menjadi lebih meriah dengan aktiviti membuat bunga kawat dan merias wajah. Kedua-dua aktiviti ini juga boleh dijadikan sumber pendapatan masyarakat. Sukaneka merupakan salah satu aktiviti yang dihadiri oleh segenap lapisan umur. Aktiviti ini berakhir sekitar jam 6:30 petang.
Di sebelah malam, ceramah keagamaan turut disampaikan oleh wakil daripada Masjid As Salam kepada seluruh muslimin dan muslimat di perkampungan tersebut, sebelum pemberian makanan kepada hampir keseluruhan masyarakat kampung.
Hari kedua dimulakan dengan zumba serta gotong royong kawasan surau. Para pelajar dan pensyarah terlibat serta penduduk kampung bersama-sama mengecat dan membersihkan surau yang ada di kampung tersebut. Majlis penutup merupakan aktiviti terakhir program ini diikuti dengan penyerahan sumbangan pek makanan dan pakaian kepada penduduk di Perkampungan Orang Asli Bukit Manchung.
Program ini juga telah berjaya memupuk sikap kepimpinan dalam diri para pelajar serta secara tidak langsung merapatkan silaturrahim antara mereka. Program seperti ini diharapkan dapat mewujudkan hubungan yang baik di antara universiti dan komuniti setempat. Diharap lebih banyak aktiviti seperti ini dapat dijalankan oleh Fakulti Pergigian, UiTM di masa akan datang.
Penulis: Ts Dr Norhayati Liaqat Ali Khan, Dr Zatilfarihiah Rasdi, Dr Noor Izzah Abd Rahman, Dr Siti Zaleha Suki