15 Oktober 2024– Fakulti Perakaunan, UiTM Puncak Alam telah menerima kunjungan akademik dari Kolej Matrikulasi Melaka (KMM). Mereka disambut mesra oleh 10 orang warga Fakulti Perakaunan yang terdiri daripada staf pejabat Hal Ehwal Akademik dan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) serta wakil-wakil pelajar yang juga merupakan alumni KMM. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan persekitaran pembelajaran di universiti.
Seramai 33 orang pelajar dari Kolej Matrikulasi Melaka dan 4 orang guru pengiring diberi pendedahan dan peluang merasai sendiri pengalaman sebenar di dalam rutin hidup seharian sebagai pelajar mahasiswa dan pelajar mahasiswi UiTM sepanjang tempoh sehari lawatan.
Mereka dibawa melawat dewan kuliah sewaktu sesi pembelajaran sedang berlangsung, melawat perpustakaan dan fasiliti lain yang terdapat di UiTM Puncak Alam. Peluang berinteraksi dengan pelajar pelajar SMF dan masuk ke kelas kelas sewaktu sesi kuliah telah dapat meningkatkan lagi minat mereka untuk menyambung pengajian di UiTM. Hasil lawatan dapat meningkatkan motivasi pelajar dan mendorong mereka untuk berusaha lebih gigih lagi di dalam peperiksaan akhir Matrikulasi bagi melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Ketika lawatan, mereka juga telah didedahkan dengan beberapa tips daripada wakil-wakil pelajar berkenaan teknik belajar dan pengalaman kehidupan di kampus bagi menyuntik motivasi ke dalam diri pelajar KMM supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan cemerlang di peringkat matrikulasi dan seterusnya dapat menyambung pengajian di Fakulti Perakaunan UiTM Puncak Alam. Lawatan ini juga telah memberi peluang kepada warga Fakulti untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara Kolej Matrikulasi Melaka dan Fakulti Perakaunan UiTM.