Pemindahan Ilmu Melalui Jalinan Industri Antara UiTM Kampus Seri Iskandar Dan Akademik Binaan Malaysia (Wilayah Utara) Sintok Kedah

Sintok, 1 Oktober 2024 – Seramai 28 pensyarah dari Program Pembinaan, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, Kampus Seri Iskandar telah menyertai lawatan kerja ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sintok, Kedah. Ketibaan rombangan lawatan ini telah disambut mesra oleh pihak pengurusan ABM Sintok Kedah diketuai oleh Tuan Mohd Nazri Bin Haji Zakaria, selaku Ketua Pegawai Eksekutif serta kakitangannya. Perjumpaan ini dimulai dengan kata-kata aluan oleh beliau dengan menyatakan kepentingan melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan kerjasama antara institusi akademik dan sektor pembinaan perlu diperkukuhkan. Selari dengan MoU, CIDB dan UiTM yang telah ditandatangani pada 21 Mac 2023, Program Pembinaan telah mengambil peluang meneruskan kerjasama dengan ABM yang merupakan anak syarikat CIDB Malaysia.

Tujuan lawatan kerja ini untuk memberi pendedahan praktikal mengenai teknologi terkini, fasiliti-fasiliti yang ditawarkan, jenis-jenis kursus pembangunan latihan dengan kemahiran serta mendapatkan sijil kemahiran kompetensi pelajar dan pensyarah. Tidak dinafikan bagi memenuhi keperluan semasa dan persaingan dalam industri pembinaan, sijil kemahiran kompetensi ini dapat memberi satu nilai tambah kepada pelajar dalam meningkatkan daya saing. Ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada kebolehpasaran pelajar disamping kelayakan sedia ada yang telah diperolehi.

Hasil dari lawatan kerja ini, tiga modul telah disenaraipendek iaitu Sistem Pembinaan Berindustri, Building Information Modelling (BIM) dan Ikatan Bata bagi memperoleh sijil kompetensi bertauliah. Modul-modul ini setara dengan silibus kurikulum Diploma dan Sarjana Muda, Program Pembinaan. Selain daripada itu, pihak ABM juga mengusulkan satu cadangan untuk menjadikan UiTM Perak sebagai Pusat Penilaian Kompetensi Bertauliah. Usul ini telah menarik perhatian pihak program. Maka satu sesi perbincangan lanjut bakal diadakan dengan pihak pengurusan atasan.

Agenda ini bukan sahaja melibatkan pelajar, malahan kerjasama antara pihak ABM dan pensyarah turut dibincangkan. Terdapat beberapa bidang seperti kelestarian pembinaan, teknologi pembinaan pintar dan inovasi pembinaan yang boleh dilaksanakan secara kolaborasi dan juga penyelidikan. Ini merupakan satu platform yang amat baik dimana pemindahan ilmu melalui jalinan industri sentiasa berterusan. Secara keseluruhan, lawatan kerja ini telah berjaya mencapai objektif, dengan penglibatan dari kedua-dua pihak. Usaha berterusan ini memberi jaminan yang Program Pembinaan UiTM Perak dapat melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran industri serta memberi impak positif kepada pensyarah juga.