Kejayaan Komersial OSB Kenaf oleh UiTM Cawangan Pahang – Dari Makmal ke Pengkomersialan

Bandar Jengka, 30 September 2024 – Projek penyelidikan UiTM Cawangan Pahang yang diketuai oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman mencatat sejarah dengan kejayaan pengkomersialan produk Oriented Strand Board (OSB) berasaskan Kenaf. Projek yang mendapat sokongan daripada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara ini bertajuk “Development of Kenaf Oriented Strand Board (OSB) and Potential Market in Malaysia” dan bertujuan memajukan Kenaf sebagai bahan mentah utama dalam penghasilan OSB di negara ini.

Projek ini bermula di skala makmal, tetapi dengan kerjasama strategik bersama OSB Pioneer Sdn Bhd yang beroperasi di Kedah, teknologi OSB Kenaf telah berjaya dipindahkan ke peringkat komersial. OSB yang dihasilkan kini boleh dikeluarkan secara besar-besaran, memberi potensi besar kepada industri pembinaan dan bahan binaan hijau di Malaysia.

Tepat pada 30 September 2024, sebanyak 450 keping OSB telah selamat dihantar dari kilang di Kedah dan tiba di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka. Semua kepingan OSB tersebut kini disimpan di Bengkel Perkayuan UiTM dan akan digunakan dalam pelbagai projek penyelidikan serta aktiviti universiti. Sebanyak 100 keping OSB turut akan diberikan kepada HEP UiTM Cawangan Pahang bagi kerja-kerja pemulihan papan katil di Kolej Tok Gajah.

Projek ini merupakan pencapaian yang sangat dibanggakan oleh UiTM dan seluruh pasukan penyelidik yang terlibat, menandakan komitmen mereka terhadap penyelidikan inovatif serta pembangunan industri hijau yang mampan di Malaysia. Kejayaan pengkomersialan OSB Kenaf ini juga mengukuhkan lagi kedudukan UiTM sebagai peneraju dalam penyelidikan teknologi hijau.

Projek OSB Kenaf ini bukan sahaja membuka peluang baru dalam penghasilan produk Kenaf, tetapi juga memberi sumbangan besar kepada industri hijau di Malaysia, dengan harapan ia akan mencetuskan lebih banyak usaha pengkomersialan bahan-bahan hijau dalam masa terdekat.

Penulis bersama: Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman, Lee Seng Hua, Siti Noorbaini Sarmin.