11 September 2024– Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Kampus Jasin telah menandatangani Surat Niat (LOI) bersama Legasi Agro Z Sdn Bhd bagi menjalankan kerjasama strategik terhadap tanaman Sorghum. Memorandum kerjasama strategik (Surat Niat) ini telah ditandatangani oleh Dekan FPA, YBrs Prof Azhan Hashim@Ismail manakala Legasi Agro Z Sdn Bhd ditandatangani oleh En Azahar Shahimi, Ketua Pegawai Operasi. Majlis Pertukaran Surat Niat(LOI) ini juga telah disaksikan oleh YB Datuk Joseph Arthur Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang bertempat di Dewan B MAHA, Maeps Serdang.
Antara kolaborasi yang bakal dilaksanakan oleh kedua-dua pihak ini adalah bekerjasama dalam bidang akademik, latihan industri pelajar serta penyelidikan sorghum/betari/sekoi sebagai makanan ruji bijrin yang mempunyai khasiat yang tinggi dan sebagai makanan ternakan di Malaysia dan juga pembangunan R&D yang berkaitan. Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Legasi Z Sufi, Encik Azahar Shahimi, beliau berkata pihaknya menyedari sorghum bukan hanya memiliki potensi besar sebagai makanan pengganti kepada manusia, tetapi tanaman itu juga boleh diproses menjadi makanan haiwan. Selain itu, tanaman sorghum ini juga dilihat lebih berkhasiat berbanding nasi.
Oleh itu, pihaknya berharap kerjasama yang terjalin ini dapat memperkukuhkan penyelidikan, pendidikan dan pengeluaran komersial dalam sektor pertanian negara khususnya membabitkan tanaman sorghum. Semoga kolaborasi ini akan memberikan manfaat dan impak yang signifikan kepada industri asas tani sekali gus memperkasakan lagi tahap sekuriti makanan negara tanpa perlu bergantung sepenuhnya terhadap import pertanian dari negara luar.