iROViS UiTM Perkasa Minat Pelajar Sekolah Dalami Ilmu Sains Melalui Ceramah Kesihatan Mata, Inovasi, Steam dan Pameran Saintifik

TANJUNG SEPAT, 30 Ogos 2024 – Bagi menarik semula minat para pelajar sekolah untuk menceburi bidang Sains, teknologi dan kesihatan yang kian merudum dan agak membimbangkan, Pusat Penyelidikan Optometri dan Sains Visual (iROViS), Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor telah mengambil inisiatif untuk membantu komuniti sekolah luar bandar dalam memperkasa semula minat pelajar terhadap bidang
Sains. Baru-baru ini pihak iROViS telah mengadakan siri perkongsian ilmu sempena Karnival STEAM Peringkat Daerah Kuala Langat yang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Tg Sepat, Kuala Langat. Adapun, program yang diadakan ini merupakan inisiatif kolaborasi serampang empat mata bersama-sama di antara pihak iROViS dan pihak Jabatan Sains Asas Fakulti Sains Kesihatan UiTM, pihak pentadbir SK Tg Sepat, Persatuan
Ibubapa dan Guru (PIBG) SKTS serta Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat.

Program berbentuk “Santai Tapi Sampai” ini berperanan sebagai titik tolak kepada menambah pengetahuan para pelajar tentang kepelbagaian cabang dalam bidang Sains serta memberikan pendedahan kepada para guru berkaitan dunia STEAM (Science, Technolgy, Engineering, Arts, Mathematics) yang merupakan tonggak utama kemenjadian pelajar dan sekolah dalam membangunkan TS25. Program kali ini disertai oleh 7 buah Sekolah Gemilang daerah Kuala Langat dan juga Sekolah-sekolah Angkat Sains Kesihatan dari daerah Kuala Langat. Turut hadir memeriahkan sesi perkongsian ilmu dan pameran adalah pegawai-pegawai SISC+ PPD Kuala Langat, pelbagai agensi dan persatuan dalam
komuniti.

Dari pihak iROViS, sesi perkongsian bertemakan penjagaan kesihatan mata telah disampaikan oleh dua orang Pensyarah Kanan Optometri UiTM bertajuk “Computer Vision Syndrome (CVS)” oleh En Ahmad Mursyid Ahmad Rudin, dan juga perkongsian bertajuk “Pencahayaan dan Penglihatan”oleh En Azmir Ahmad. Dalam pada itu juga, para peserta yang hadir dihidangkan dengan sesi perkongsian berkaitan Asas Inovasi oleh Dr Razif Dasiman, Pensyarah Kanan Fisiologi UiTM dan juga sesi perkongsian bertajuk Pengenalan dan Pengurusan STEAM telah disampaikan oleh Dr Fatin Nadzirah Zakaria, Pensyarah Kanan Fisiologi UiTM. Selain itu, para peserta yang hadir juga dapat menyaksikan pameran
Sains Kesihatan yang telah disediakan. Pameran Sains Kesihatan ini diketuai oleh Dr Evana Kamarudin, Pensyarah Kanan Teknologi Makmal Perubatan UiTM dan dibantu oleh oleh barisan Penolong Penyelidik FSK yang terdiri dari para alumni Fakulti Sains Kesihatan. Pameran ini merangkumi Blood Games, Wound Simulation, Cognitive Games, Analisis Komposisi Tubuh, Konsep Suku-suku Separuh, Dunia Mikrobiologi, Vision Interactive Session, Kuiz Kesihatan, dan sebagainya. Terdapat juga acara pertandingan lain yang dijalankan sepanjang Karnival STEAM ini seperti pertandingan poster masa depan, rekacipta kenderaan masa depan, pelancaran roket dan hiasan sapu tangan, yang mana penyertaan adalah dalam kalangan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah yang hadir.

Turut hadir sama dalam program kali ini adalah Dr Saiful Azlan Rosli, Ketua Pusat Penyelidikan Optometri dan Sains Visual (iROViS), Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor yang telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang Kuiz Sains Kesihatan. Menurut beliau, program seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk minat pelajar-pelajar terutamanya dari luar bandar untuk lebih berminat dalam mendalami bidang Sains, Teknologi dan Kesihatan. Selain itu, program ini juga merupakan salah satu inisiatif dan peluang kepada pihak entiti penyelidikan di universiti dalam meningkatkan penglibatan aktiviti bersama komuniti dan masyarakat, yang mana cabaran terkini dalam bidang pendidikan sekarang ini merupakan bagaimana untuk menarik semula minat para pelajar untuk menceburi bidang sains yang kian merudum dan agak membimbangkan.

Dalam erti kata sebaliknya, program ini sebenarnya dapat membantu mentransformasikan minda murid-murid ke arah yang lebih terbuka terhadap ilmu sains, kreatif, produktif dan inovatif. Ianya juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya meningkatkan pengetahuan dalam bidang sains kesihatan (SDG 3: Good Health and Wellbeing), penyampaian
pendidikan yang berkualiti (SDG 4: Quality Education), memupuk budaya berinovasi (SDG 9: Innovation), serta menggalakkan kolaborasi pelbagai agensi (SDG 17: Partnerships for the Goals). Dengan kolaborasi pelbagai pihak yang mantap, pelbagai usaha dapat digembelingkan, matlamat dan objektif yang jelas dapat dicapai bersama dan mampu menjadi penggerak dalam meningkatkan semula minat generasi muda untuk mencintai
lapangan ilmu sains dan teknologi pada masa hadapan.