SIMPORA XV 2024 Pacu Kelestarian Warisan Seni Bina Nusantara

Karai, Kuala Kangsar, 9 September 2024 – Majlis Perasmian SIMPOSIUM NUSANTARA ke-15 bertemakan “Malam Nusantara” yang berlangsung di D’Village Hotel & Villas menjadi acara kemuncak kepada Simposium Nusantara Ke-15 (SIMPORA XV:2024). Simposium ini, yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak melalui Pusat Penyelidikan KUTAI, berlangsung dari 7 hingga 13 September 2024 mendapat kerjasama strategik daripada Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), dan D’Village Hotel & Villas. SIMPORA XV 2024 kali ini merangkumi 3 program termasuklah (i) International Student Workshop on Vernacular Architecture (InSWHA 2024) di Rumah TABAK, Bota, (ii) Simposium Nusantara ke 15 (SIMPORA XV) di Karai, Kuala Kangsar dan (iii) Excursion East Coast Architecture Expedition.

Majlis kemuncak perasmian ini disempurnakan oleh Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, Toh Maharaja Indera Dr. Khairil Anuar bin Arshad dan TNC Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah dan turut dihadiri oleh Rektor UiTM Cawangan Perak, Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Pengerusi D’Village Hotel & Villas, Pengerusi Perak Tourism, Pengarah Kanan Perkhidmatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan barisan kehormat dari pelbagai sektor dan organisasi. Majlis diserikan dengan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pihak penganjur, delegasi dari pelbagai organisasi, jawatankuasa program serta 29 pembentang dari 13 universiti tempatan dan luar negara termasuklah Indonesia, yang menyampaikan perbincangan tentang Seni Bina Nusantara. Tema “Resilience of Culture & Symbolism in Built Environment” menjadi teras simposium kali ini, menekankan pentingnya memelihara kesinambungan budaya dan simbolisme dalam mendepani perubahan pemodenan.

Tema ini turut mengetengahkan peribahasa “Tajam Tidak Menujah Lawan, Melilit Tidak Memaut Kawan” yang menggambarkan pendekatan bijaksana dalam menjalinkan hubungan dan menangani cabaran masa depan. Ia melambangkan kesantunan serta kerjasama yang harmoni, seiring dengan usaha mengekalkan warisan budaya dalam seni bina warisan bangsa. Majlis ini turut menyempurnakan upacara menandatangani tiga (3) Memorundum Perjanjian bersama pihak KARAI, Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) serta Universitas Islam Negeri Alauddin Makassar (UINAM). Penglibatan strategik sebegini membuktikan bahawa seni bina Nusantara masih dihargai dan relevan untuk terus dimartabatkan.

Antara lain, Program SIMPORA XV 2024 turut menyajikan platform perbincangan ilmiah bukan sahaja secara teoritikal tetapi turut diberi peluang untuk memahami secara praktikal dan spiritual melalui pengalaman penyelidikan dan eksplorasi budaya warisan Seni Bina Melayu. Program kolaborasi sebegini bukan sahaja bermanfaat untuk warga ilmuan tematan dan antarabangsa, mobiliti pelajar, komuniti, pihak berkuasa tempatan serta industri malahan berjaya menepati enam sasaran PI Universiti iaitu pencapaian PI019, PI057, PI075, PI077, PI076 dan PI084.

Kesimpulannya, Simposium Nusantara ke-15 ini telah memberikan impak besar dalam mendorong idea-idea inovatif yang mampu mengukuhkan warisan seni bina tradisional, sambil memastikan identiti budaya terus kekal selari dengan perkembangan seni bina semasa dan kelestarian warisan masa hadapan.

Disediakan Oleh: Dr. Nur Huzeima Mohd Hussain, PN SR Dr. Kartina Alauddin