RAUB, 28 Ogos 2024 – Kumpulan Human Prosper Allies di bawah pembiayaan Geran Penyelidikan Impak Komuniti, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub telah menjalankan satu program pemindahan ilmu (KTP) bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Satak, Raub. Program ini diketuai oleh Cik Siti Hasziani Ahmad sebagai pengarah program, dengan dibantu oleh lima orang ahli jawatankuasa (AJK) dan disertai oleh 11 orang fasilitator yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah Fakulti Pengurusan dan Peniagaan (FPP) UiTM Kampus Raub serta guru-guru SK Satak. Peserta program terdiri daripada 65 orang murid orang asli tingkatan satu dan dua SK Satak.
Program yang dinamakan sebagai Program Motivasi Menuju ke Menara Gading ini secara umumnya dilaksanakan bertujuan untuk memberi pendedahan, motivasi dan meningkatkan kesedaran para pelajar tentang kepentingan ilmu. Di samping itu, ia dapat memberi pendedahan mengenai peranan institusi pengajian tinggi dalam membentuk nilai, keperibadian, menambah ilmu pengetahuan dan memotivasikan diri ke arah kecemerlangan pada masa hadapan. Pengisian program ini dapat membuka minda para pelajar Orang Asli untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperbaiki taraf hidup keluarga dan mengejar cita-cita dengan melanjutkan pengajian ke menara gading.
Program bermula seawal pukul 9.00 pagi dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan dan Perbankan FPP, UiTM Kampus Raub, Dr. Hasnizawati Hashim. Penceramah menekankan tentang kepentingan cita-cita, ilmu serta usaha dan kesungguhan untuk mencapai kejayaan. Para pelajar diberikan kata-kata motivasi supaya keyakinan dan semangat mereka dapat ditingkatkan. Selain daripada ceramah motivasi, penceramah juga melibatkan para pelajar dengan aktiviti-aktiviti interaktif untuk meningkatkan minat mereka sepanjang proses tersebut. Aktiviti interaktif juga bertujuan untuk meningkatkan penglibatan, pembelajaran, dan pengalaman pelajar dengan membuatkan mereka lebih aktif dan terlibat secara langsung dalam proses pemindahan ilmu ini.
Para pelajar yang merupakan Orang Asli tersebut seterusnya dilibatkan dengan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Mereka dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan setiap kumpulan dipantau oleh seorang fasilitator. Empat aktiviti permainan telah dijalankan bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama serta menggalakkan komunikasi dan sinergi di antara ahli kumpulan. Ia membolehkan peserta mempraktikkan kemahiran baru dalam persekitaran yang lebih dinamik dan interaktif. Sesi LDK ini memberi tumpuan kepada pembelajaran melalui pengalaman langsung. Selepas aktiviti, para pelajar terlibat dalam sesi penilaian dan refleksi untuk membincangkan pengalaman mereka serta mengenal pasti pengajaran yang boleh mereka dapati daripada aktiviti LDK tersebut.
Program berakhir pada pukul 1.00 tengahari dengan upacara penyampaian hadiah dan sesi bergambar. Ucapan perasmian penutup telah disampaikan oleh guru besar SK Satak, En. Azman bin Suhor. Program ini diharapkan dapat memberi impak yang positif terhadap pembelajaran pelajar-pelajar Orang Asli SK Satak serta meningkatkan keyakinan dan semangat mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan kehidupan. Objektif program ini adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4) iaitu memastikan pendidikan berkualiti secara inklusif dan saksama, dan menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua. Semoga kerjasama antara pihak institusi pengajian tinggi khususnya UiTM dengan pihak sekolah dapat diteruskan pada masa akan datang. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program ini, termasuk guru besar SK Satak, penceramah, kaunselor, guru-guru serta fasilitator. Semoga usaha murni ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar secara keseluruhannya.
Penulis: Ina Murni Hashim, Siti Hasziani Ahmad, Roslina Ali, Rozieana A. Halid @ Khalid & Norulhuda Tajuddin