Penyertaan Pelajar Kolej Alam Bina Dalam ‘Built Environment Summer School Programme’ Anjuran Universitas Bung Hatta, Padang, Indonesia

16 Ogos hingga 2 September 2024 – Seramai 12 orang pelajar dari Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam telah menyertai ‘Built Environment Summer School Programme’ di Padang, Indonesia. Program ini dianjurkan oleh Fakultas Teknik Sipil dan Perencanaan, Universitas Bung Hatta (UBH), Indonesia, dengan kerjasama Bidang Ukur Bangunan dari Pengajian Harta Tanah dan Ukur Bangunan, Bidang Pembinaan serta Bidang Ukur Bahan dari Pengajian Pembinaan dan Ukur Bahan, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM, Shah Alam, Malaysia. Para peserta program diiringi oleh 6 orang pensyarah dari bidang-bidang yang terlibat.

‘Built Environment Summer School Programme’ ini merupakan salah satu aktiviti dari ‘MoU’ yang telah dimeterai antara UBH dan UiTM. Program ini amat bernilai bagi para pelajar dan pensyarah dari kedua-dua institusi untuk memperkukuhkan hubungan akademik dan memperluaskan pengalaman antarabangsa. Penyertaan dalam program ini tidak hanya memberi peluang kepada pelajar dari UiTM untuk mendapatkan pendedahan kepada budaya dan cara hidup yang berbeza di Indonesia, tetapi juga menyediakan platform untuk mereka mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari di bilik kuliah dalam konteks yang lebih luas.

Sesi ‘Guest Lecture’ dan ‘Sharing Session’ oleh pensyarah UBH dan UiTM menjadi peluang berharga untuk perkongsian ilmu dan kepakaran, memberi manfaat besar kepada semua yang terlibat. Selain dari aktiviti akademik, terdapat sesi lawatan ke Kota Tua Padang, Bukit Tinggi dan Istana Pagar Ruyung, penginapan di einap desa Nagari Sumpur, aktiviti sukan dan kebudayaan, serta perbincangan dalam kumpulan. Sistem ‘buddy’ oleh pelajar UBH dapat mengeratkan hubungan antara peserta program dan seterusnya memperkuatkan rangkaian sosial antara kedua negara.

Pengalaman menyertai program ini diharap dapat membentuk sahsiah para peserta menjadi lebih matang dan bersedia menghadapi cabaran pada peringkat global. Di samping itu, hasil penyelidikan dan pembelajaran yang dilakukan sepanjang program ini diharap dapat diterbitkan dalam jurnal atau konferens, yang akan menyumbang kepada peningkatan pengetahuan dalam bidang Alam Bina. Kerjasama antara UBH dan UiTM bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara dua institusi, tetapi juga berpotensi melahirkan generasi mahasiswa dari kedua-dua universiti ini ke arah yang lebih holistik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.