FPA UiTM Kampus Jasin Unggul Dengan 32 Anugerah di WYSII 2024

Jasin, 6 Julai 2024 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin telah mencatatkan kejayaan gemilang apabila meraih sebanyak 32 anugerah dalam Pertandingan “World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2024” yang berlangsung dari 15 Mac hingga 30 Mei 2024. Kejayaan ini sekaligus mengangkat nama UiTM di persada antarabangsa dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

WYSII 2024, yang dianjurkan oleh Malaysia Young Scientists Organization (MYSO), bertujuan menggalakkan inovasi kreatif dalam bidang STEM di kalangan masyarakat global. Pertandingan ini menarik lebih daripada 1,400 penyertaan dari pelbagai negara termasuk Thailand, Indonesia, Nepal, Filipina, Bosnia, Kemboja, Romania, Tunisia, El Salvador, Mexico, Macedonia, Vietnam, Turki, dan Malaysia. Kategori yang dipertandingkan meliputi Science & Artificial Intelligence, Education, Social Science, Applied Science, Environmental Science, Physic & Engineering, Life Science, dan banyak lagi, dengan penyertaan terbuka kepada profesional, guru, pelajar universiti, kolej, serta pelajar sekolah menengah dan rendah.

Dalam pertandingan tersebut, empat projek penyelidikan di bawah pimpinan Ts. Dr. Siti Fairuz Nurr binti Sadikan bagi kategori profesional dan lapan projek bersama pelajar seliaan beliau iaitu Azeerul Zharif bin Sarip, Azzarina binti Rahim, Raja Faiz ‘Azamuddin bin Raja Idris, Nur Ezzati Nadhirah binti Amaram, Muhammad Firdaus bin Kamarulzaman, Naim Afifi bin Abdullah, Faris Irfan bin Mohd Johari, Aiman Syahir bin Azhellmee, dan Nur Ain binti Asmuni berjaya mengungguli pelbagai anugerah.

Antara anugerah yang diterima termasuklah 1 Platinum Award, 2 Best Innovation Award bagi kategori Social Science, 1 Best Innovation Award bagi kategori Applied Science, 3 Best Video Presentation Award, 3 Best Entrepreneurship Award, 4 Best e-Poster Award, 1 Special Award oleh Indonesia Scientific Society (ISS), 3 Special Award oleh Indonesian Young Scientist Association (IYSA), 9 Gold Award, 3 Silver Award, dan 1 Bronze Award

Selain itu, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Jasin turut dianugerahkan “Most Participation Institution”, menandakan penglibatan aktif dan komitmen fakulti dalam memajukan bidang penyelidikan dan inovasi.

 Menurut Ts. Dr. Siti Fairuz Nurr binti Sadikan, kejayaan ini adalah hasil daripada dedikasi dan kerjasama erat antara semua ahli pasukan. “Pengiktirafan ini membuktikan kemampuan dan potensi penyelidik kita dalam menghasilkan inovasi yang berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa. Ia juga menjadi pemangkin semangat untuk terus meneroka dan mengembangkan idea-idea baharu yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” katanya.

Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Prof. Ts. Dr. Azhan bin Hashim@Ismail turut menyatakan rasa bangga dan penghargaan atas pencapaian tersebut. Beliau menegaskan bahawa fakulti akan terus menyokong usaha penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pensyarah dan pelajar bagi memastikan kecemerlangan akademik dan penyelidikan yang berterusan.

Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama fakulti dan UiTM di peringkat antarabangsa tetapi juga membuktikan keupayaan institusi dalam melahirkan penyelidik yang kompeten dan berdaya saing. Diharapkan pencapaian cemerlang ini akan terus memberi inspirasi kepada warga universiti dan komuniti keseluruhannya untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.