Bengkel Tatacara Prosiding Tatatertib Pelajar: Pendekatan UiTM Cawangan Perak dalam Memperkukuhkan Kompetensi Staf

01 Ogos 2024 – Bengkel Tatacara Prosiding Tatatertib Pelajar: Pencerahan dan Panduan telah diadakan di Smart Classroom, Bangunan Zeta, Fasa 1, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah melibatkan 20 orang staf yang terdiri daripada urusetia, ahli jawatankuasa dan panel prosiding tatatertib Hal Ehwal Pelajar (HEP). Bengkel anjuran Jabatan Undang-Undang UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah ini adalah bertujuan memperkukuhkan kefahaman, memberi pendedahan secara umum dan terperinci selain meningkatkan profesionalisme staf dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan bagi pengendalian kes tatatertib pelajar. Selain itu, peraturan dan undang-undang yang berkaitan seperti Akta 173, Akta 174, hak-hak pelajar dan tanggungjawab jawatankuasa prosiding tatatertib pelajar merupakan antara inti pati penting dalam slot bengkel yang telah diadakan.  

Puan Nor Azila binti Maharam, Penolong Pendaftar Kanan, Unit Tatatertib Pelajar, Pejabat Penasihat Undang-Undang, UiTM Shah Alam telah dijemput bagi mengendalikan bengkel ini. Dihadirkan jauh dari kampus Shah Alam, Puan Nor Azila yang mempunyai pengalaman yang luas dalam prosiding tatatertib pelajar menyampaikan ceramah dengan penuh dedikasi selama hampir 5 jam, bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang. Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBrs. Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Sr. Dr. Mohd Azian bin Zaidi.

Bengkel ini dikendalikan secara komunikasi dua hala di antara penceramah dan peserta. Pelbagai soalan diajukan berkenaan tatacara prosiding selain perbincangan menyeluruh berhubung pengendalian prosiding tatatertib di peringkat kampus cawangan dan peringkat rayuan. Penceramah juga tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman mengendalikan kes-kes tatatertib pelajar dan implikasi undang-undang bagi setiap kesalahan yang lazimnya dibuat oleh para pelajar. Soalan -soalan yang diajukan oleh peserta juga turut merangkumi perkara pra dan pasca prosiding.

Saidatina Aisyah R.A. melalui Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931), meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Selari dengan hadis ini, adalah menjadi tanggungjawab semua mukmin untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan yang telah diamanahkan dengan cemerlang. Sehubungan dengan itu, program ini dilihat sebagai batu loncatan untuk memastikan semua staf yang mengendalikan prosiding tatatertib pelajar mahir dan kompeten dalam melaksanakan tugas. 

Berdasarkan penilaian keberkesanan program yang dibuat oleh peserta, didapati program sebegini telah berjaya meningkatkan pengetahuan peserta dalam hal yang berkaitan dan objektif program tercapai selain memberi manfaat kepada peserta.

Penulis bersama: Dr Farihana Abdul Razak, Puan Afidah Osoman dan Encik Muhamad Ikhwan bin Mohd Zain