Kolaborasi Kepakaran PKA UiTMCPP dan Kolej Vokasional Nibong Tebal : Bengkel Perancangan dan Penjadualan Microsoft Project

NIBONG TEBAL, 5 OGOS 2024 – Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) UiTM Cawangan Pulau Pinang telah dijemput untuk menjayakan bengkel Perancangan dan Penjadualan Microsoft Project anjuran Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang. Ir. Mohamad Zain Hashim yang berpengalaman luas dalam  Perancangan dan Penjadualan Microsoft Project telah diundang sebagai penceramah sambil dibantu oleh tiga orang pensyarah sebagai fasilitator iaitu Pn. Nuraini Tutur, Dr. Siti Hafizan Hassan, dan Pn. Nor Janna Tammy untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan berharga mengenai teknik-teknik Perancangan dan Penjadualan Microsoft Project. Kursus yang telah berlangsung selama sehari dan bertempat di Bengkel Teknologi Pembinaan telah dihadiri oleh 5 orang guru dan 10 orang pelajar Diploma Teknologi Pembinaan.

Peserta bengkel menunjukkan minat yang tinggi dalam mempelajari dan memahami penggunaan software Microsoft Project yang sangat relevan dengan bidang mereka. Dengan menguasai penggunaan Microsoft Project, para peserta akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia kerja yang semakin kompetitif. Software ini bukan hanya membantu dalam perancangan yang lebih efektif, tetapi juga meningkatkan kolaborasi antara pasukan dan memungkinkan pemantauan projek secara real-time.

Bengkel ini telah berjaya dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan pelajar Diploma Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional seiring dengan teknologi masa kini. Selain itu,  kerjasama ini dapat membina hubungan, berkongsi ilmu serta kepakaran dalam kalangan staf akademik PKA dan pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal.