Program Webinar Antarabangsa Antara UiTM Pulau Pinang dan Universiti Sargodha, Pakistan

15 Ogos 2024 – Jabatan Sains Komputer dan Matematik, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (JSKM KPPIM UiTMCPP) telah berjaya menganjurkan siri webinar antarabangsa yang bertajuk “Numerical Technique Based on Cubic B-Spline Functions for Solving Time-Fractional Advection Diffusion Equation involving Atangana-Baleanu Derivative”. Program ini telah disiarkan secara langsung dengan jayanya melalui platform Facebook milik Jabatan Sains Komputer dan Matematik UiTMCPP pada pukul 3 petang.

Webinar ini menampilkan seorang penceramah jemputan yang berpengalaman luas, iaitu Profesor Dr. Muhammad Abbas dari Universiti Sargodha, Pakistan, yang merupakan seorang pakar yang sangat dihormati dalam bidang matematik. Beliau merupakan seorang tokoh terkemuka dalam bidang matematik di Universiti Sargodha, Pakistan. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam Sains dari Universiti Punjab, Lahore, pada tahun 2001 dan 2003. Beliau memulakan kerjaya akademiknya sebagai pensyarah di Universiti Sargodha pada tahun 2005 dan telah mengajar pelbagai kursus Matematik Gunaan di peringkat sarjana muda dan pascasiswazah. Pada tahun 2012, beliau berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam Reka Bentuk Geometri Berbantu Komputer dari Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Kemudian, pada tahun 2014, beliau melanjutkan penyelidikan di peringkat pasca-doktoral di institusi yang sama.

Minat penyelidikan Profesor Dr. Muhammad Abbas adalah begitu luas yang merangkumi pembangunan skema visualisasi data saintifik yang mengekalkan bentuk, pemodelan geometri, dan teknik penyelesaian numerikal untuk persamaan pembezaan separa (PDE), persamaan pembezaan biasa (ODE), persamaan pembezaan separa pecahan (FPDE), dan persamaan pembezaan biasa pecahan (FODE) menggunakan fungsi B-spline. Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan banyak kertas penyelidikan berkualiti yang diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi serta pembentangan di persidangan antarabangsa. Selain itu, beliau juga telah menyelia lebih 10 tesis Ph.D. dan 60 tesis MPhil dalam bidangnya.

Pada sesi pembentangan webinar anjuran JSKM UiTMCPP ini, beliau berkongsi pengetahuan dan kepakaran beliau dalam teknik numerikal untuk menyelesaikan persamaan adveksi-difusi waktu-pecahan, iaitu suatu topik penting dalam analisis matematik yang mempunyai aplikasi luas dalam bidang fizik dan kejuruteraan.

Sesi webinar ini bukan sahaja menyediakan peluang kepada staf UiTM untuk mendapatkan jam latihan profesional mereka, tetapi juga membuka ruang kepada para ahli akademik, pelajar, dan profesional dari seluruh dunia untuk memperluas pemahaman mereka tentang teknik matematik lanjutan dan aplikasinya dalam menyelesaikan masalah dunia nyata. Melalui webinar ini, para peserta telah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan penceramah melalui sesi soal jawab yang diadakan selepas pembentangan. Soalan-soalan yang diajukan oleh para peserta telah menggambarkan minat mendalam mereka terhadap teknik yang dibentangkan, serta menunjukkan kesungguhan mereka untuk menerapkan kaedah ini dalam penyelidikan masing-masing.

Webinar ini diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada penganjur kepada penceramah dan semua peserta yang terlibat, dengan harapan bahawa ilmu yang dikongsi dapat memberi manfaat kepada komuniti akademik dan penyelidik secara keseluruhannya.

Penganjuran webinar ini sekali lagi membuktikan komitmen JSKM UiTMCPP dalam memperkasakan penyelidikan saintifik melalui platform perkongsian ilmu di peringkat global. Secara umumnya, para peserta melahirkan rasa puas hati terhadap kandungan yang dibentangkan dan berharap untuk menyertai lebih banyak program seumpama ini pada masa akan datang.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan menyertai webinar ini secara langsung, rakaman sesi ini boleh diakses semula melalui laman Facebook milik Jabatan Sains Komputer dan Matematik UiTMCPP. JSKM UiTMCPP akan terus menawarkan platform yang dinamik untuk pertukaran ilmu pengetahuan, melibatkan pakar-pakar terkemuka dari pelbagai bidang dalam usaha memperkukuh jaringan akademik. Rakaman webinar boleh didapati pada pautan berikut: https://www.facebook.com/share/v/MWvRGbyw5ijAUVDK/