Program “Explorace Sinar Gemilang” : Satu Usaha Mahasiswa Membantu Murid Sekolah

9 Jun 2024 – Persatuan Belia Harmoni UiTM Perlis dengan kerjasama Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informasi dan Matematik, UiTM Cawangan Perlis dan juga Sekolah Kebangsaaan Tengku Budriah telah menganjurkan Program Explorace Sinar Gemilang yang melibatkan 100 orang peserta dikalangan murid sekolah rendah yang berusia antara 8 tahun hingga 12 tahun.  Program ini merupakan acara kemuncak bagi program Bantu Baca yang telah dijalankan secara berkala sebelumnya selama sebelas minggu di sekolah.  Dalam program ini peserta diberi peluang untuk melakukan aktiviti berbentuk kecergasan fizikal dan eksplorasi dalam kawasan kampus secara berkumpulan.

Program yang bermula pada pukul 8:00 pagi hingga 1:00 tengah hari ini telah dijayakan oleh penglibatan 60 mahasiswa UiTM Cawangan Perlis dari pelbagai fakulti yang bertugas sebagai AJK penggerak,  fasilitator  dan juga sukarelawan.  Enam orang pensyarah terlibat memantau perjalanan program dan seramai 10 orang guru dari Sekolah Tengku Budriah juga hadir sebagai pengiring.

“Saya berbesar hati dan berterima kasih dengan penganjuran program ini yang menjurus kepada proses pengintegrasian elemen akademik dan bukan akademik dalam membantu murid mengembangkan idea dan pontensi yang mereka miliki dalam perkara yang diminati,” kata Timbalan Pengarah Pendidikan Perlis Sektor Pembelajaran, Ybrs. Cikgu Ayub Bin Ahmad ketika berucap dalam majlis Perasmian dan Penutup Explorace Sinar Gemilang.

Beliau percaya bahawa dengan adanya penganjuran program sebegini yang melibatkan mahasiswa uiversiti dari pelbagai bidang dan fakulti akan meninggalkan impak dan motivasi yang besar dalam minda murid-murid peserta untuk terus semangat belajar dan menjadi yang terbaik pada masa akan datang.  Turut hadir ialah Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informasi dan Matematik UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nur Fatihah Fauzi dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, Cikgu Nor Zaitun Ibrahim.

Secara keseluruhannnya program berjalan lancar dan mendapat sokongan penuh dariapada ibubapa dan guru.  Rata-rata mahasiswa yang terlibat sangat gembira dan teruja dapat menyumbang usaha dan tenaga demi membantu pihak sekolah dan murid-murid khasnya disamping menjadi platfom kepada mereka sendiri untuk menonjolkan kemampuan diri serta mengasah minat dan kemahiran interpersonal intrapersonal masing-masing.  Semoga program ini memberi manfaat untuk semua pihak dan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penglibatan mahasiswa pada skala yang lebih besar.