Taklimat Khas Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) dan Pensijilan Ladang oleh Jabatan Pertanian Malaysia

PAHANG, 18 Julai 2024 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah mengadakan satu program Taklimat Khas Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) dan Pensijilan Ladang (myOrganic dan myGAP) pada 18 dan 19 Julai 2024 bertempat di UiTM Cawangan Pahang. Program ini telah mendapat kelulusan daripada Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Cawangan Pahang (UCPh), Kampus Jengka.

 Pihak FPA telah menjemput pegawai dari Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia, Putrajaya bagi meningkatkan kefahaman pihak FPA bersama United Tropical Fruit (UTF) selaku peserta dalam menjalankan projek penyelidikan Organic Musang King and Black Thorn Nursery & Research & Development Centre. Program ini telah disertai oleh 9 orang pensyarah FPA, 2 orang staf Unit Pengurusan Ladang dan 6 orang wakil daripada UTF. 

Taklimat tersebut menjadi langkah awal bagi pihak FPA dan UTF bagi merancang bagaimana untuk mendapat perakuan anak benih durian Musang King dan Black Thorn yang dihasilkan yang memenuhi piawaian yang ditetapkan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan pembeli terhadap nurseri yang mengeluarkan anak benih tersebut.

Program dimulakan dengan ucapan aluan dan pembukaan oleh Ketua Pusat Pengajian (KPP) FPA, Dr. Mohd Khairi Che Lah. Sesi pertama taklimat bertajuk Pengenalan kepada Skim Pengesahan Bahan Tanaman yang disampaikan oleh Puan Emilya binti Mazlan, Penolong Pengarah, Seksyen Pengesahan Bahan Tanaman. Seterusnya sesi taklimat diteruskan oleh Encik Zulmi bin Yaacob, Penolong Pengarah, Seksyen Pengesahan Bahan Tanaman dengan sesi perkongsian bertajuk Pencirian dan Pengenalpastian Durian Terpilih. Sesi seterusnya bertajuk Pensijilan myGAP dan myOrganic yang disampaikan oleh Puan Nur Liyana binti Mohamad Napiah, Penolong Pengarah, Seksyen Pensijilan Ladang, Jabatan Pertanian Malaysia.

Selain itu, pada hari kedua, peserta juga diajar mengenai pembiakan pokok durian secara cantuman oleh pegawai Jabatan Pertanian Malaysia dari Pusat Pertanian Jambu Rias, Karak iaitu Encik Arif bin Salleh. Program berakhir dengan ucapan penutup oleh Dekan FPA, Prof. Ts. Dr. Azhan Hashim@Ismail, penyampaian cenderahati kepada wakil Jabatan Pertanian Malaysia serta sesi bergambar bersama para peserta dan penceramah jemputan.

 Sepanjang dua hari taklimat dijalankan, banyak manfaat yang telah diterima dan semua peserta memberikan maklum balas yang sangat positif. Program ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai segala objektif yang telah digariskan. Diharapkan semoga hubungan baik bersama Jabatan Pertanian Malaysia ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.