Misi Bantuan Kemanusiaan dan Pertolongan Bencana Selatan Thailand 2024

8 Ogos 2024 – Misi Bantuan Kemanusiaan dan Pertolongan Bencana Selatan Thailand 2024 anjuran Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (JPT) telah dilaksanakan dengan jayanya pada 7 – 11 Ogos 2024, dengan kerjasama strategik Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan LightGreen Enterprise. Dengan penglibatan 115 peserta dalam kalangan sukarelawan pelajar, kakitangan universiti, dan tenaga pakar daripada 20 universiti awam, misi tersebut membuktikan solidariti dan sokongan kepada komuniti di Selatan Thailand yang terjejas akibat banjir penghujung tahun lepas dan awal tahun ini.

UiTM telah diwakili oleh dua orang pelajar UiTM Shah Alam iaitu Saudara Ahmad Azahari Adli bin Rosli (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Dengan Kepujian) dan Mohamad Saefullah bin Noorpini (Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik Dengan Kepujian) dan diiringi oleh Encik Ku Hadzrill Jeeffry bin Ku Hamzah, Pegawai MASKUM UiTM dari Pusat Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Shah Alam.

Menurut En. Hirman Bin Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, antara inisiatif misi yang difokuskan untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti termasuklah projek pemasangan lampu solar, pemasangan telaga bor dan tangki air, kelas Bahasa Inggeris untuk pelajar pondok, pemeriksaan dan saringan kesihatan, pengagihan sumbangan barang keperluan, pemindahan ilmu pembuatan manisan kelapa laut dan lilin daripada minyak terpakai, aktiviti mengecat surau, program pengguntingan rambut percuma, serta kenduri rakyat.

Misi ini melambangkan komitmen berterusan MASKUM dalam berkhidmat secara sukarela kepada negara jiran, demi membina masa depan bersama yang lebih lestari dan berdaya tahan, di samping membentuk mahasiswa holistik yang cakna dan proaktif dalam menyelesaikan isu-isu masyarakat di peringkat antarabangsa.

Penulis : Ku Hadzrill Jeeffry bin Ku Hamzah, Mohd Nor Hajar Hasrol Bin Jono

Penulis Bersama : Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi, Hirman Bin Awang, Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman