Sihat dan Ceria di Usia Emas

UiTM PUNCAK ALAM, Mei 2024 – Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Puncak Alam dengan kerjasama Fakultas Keperawatan dan Kebidanan Universitas Nahdlatul Ulama Surabaya (UNUSA) telah berjaya mengadakan program komuniti selama dua hari di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjong Karang dan PAWE Felda Bukit Cherakah. Program ini dijalankan bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada warga emas di sekitar daerah Kuala Selangor berkaitan penyakit-penyakit berkaitan penuaan dan cara mengatasinya. Program ini telah melibatkan lima orang fasilitator daripada Pusat Pengajian Kejururawatan yang terdiri daripada pensyarah dan instruktor klinikal dan 11 orang delegasi daripada UNUSA.

Pada hari pertama program komuniti ini telah dijalankan di PAWE Tanjong Karang dengan jumlah peserta seramai 35 orang warga emas. Program ini juga turut dihadiri oleh Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kuala Selangor iaitu Dr. Abd Murad bin Salleh.  Turut hadir memeriahkan majlis ialah Encik Adzelan bin Abd Rashid, selaku Pengerusi PAWE, Parlimen Tanjong Karang, Encik Zubairi bin Hussin selaku Penyelia PAWE, Ustazah Hjh. Siti Marpungah binti Sipon selaku Ketua Biro Kerohanian PAWE, Dr. Muhammad Afiq bin Zaki, pensyarah kanan merangkap Pegawai Perhubungan Antarabangsa FSK dan Dr. Siti Khuzaimah binti Ahmad Sharoni selaku Ketua Pusat Pengajian Kejururawatan. Acara dimulakan pada pukul 9.30 pagi yang mana Dr. Abd Murad bin Salleh telah memberikan kata alu-aluan bagi pihak PAWE Tanjong Karang, diikuti oleh ucapan aluan oleh wakil UNUSA iaitu Dr. Umdatus Soleha dan Dr. Siti Khuzaimah Ahmad Sharoni selaku wakil FSK.

Setelah selesai ucapan aluan oleh ketiga-tiga organisasi, sesi fotografi telah diadakan untuk mengabadikan kenangan bersama tetamu kehormat, penganjur, dan para peserta. Semua hadirin telah berkumpul di hadapan pentas bagi menjayakan sesi bergambar tersebut. Aktiviti pertama dimulakan dengan senamrobik yang diketuai oleh wakil daripada UNUSA iaitu Puan Siti Nur Hasina dan berlangsung selama 20 minit. Kemudian, kesemua hadirin dipersilakan untuk bersarapan pagi sebelum ke agenda seterusnya.

Ceramah pertama dengan tajuk “Strengthening knowledge of fall prevention through education on fall risk prevention in the elderly in Malaysia”  telah disampaikan oleh Puan Siti Nur Hasina. Beliau menerangkan tentang faktor-faktor penyebab kejadian jatuh dalam kalangan warga emas dan cara pencegahannya. Pada pukul 11 pagi, program diteruskan lagi dengan sesi ceramah kedua dengan tajuk “Health education about degenerative diseases and health checks in an effort to improve the quality of life for the elderly” yang disampaikan oleh pensyarah UNUSA iaitu Difran Nobel Bistara. Beliau menerangkan berkaitan penyakit-penyakit yang biasanya dihidapi oleh warga emas akibat peningkatan usia dan cara mencegah serta mengelakkan komplikasi penyakit supaya kualiti hidup warga emas tidak terjejas. Di akhir kedua-dua sesi ceramah, peserta diajukan dengan tujuh soalan daripada penceramah bagi menguji tahap kefahaman peserta dan peserta yang berjaya menjawab soalan dengan betul, telah diberikan hadiah. Program berakhir pada pukul 1 tengah hari dan kepulangan kami diiringi bersama taburan bunga rampai oleh peserta warga emas di PAWE Tanjong Karang dan kedatangan kami pada masa akan datang amat dinantikan.

Program komuniti ini diteruskan lagi pada hari kedua di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Felda Bukit Cherakah, Kapar, Klang. Ketibaan kami disambut oleh warga emas yang sedia menunggu bersama penyelia PAWE iaitu Puan Zafirah dan Tuan Haji Masri Bin Abdullah selaku Setiausaha PAWE. Aktiviti dimulakan dengan senamrobik dengan kesemua warga emas dan mengambil masa selama 20 minit sahaja. Kemudian, kesemua peserta diberikan sarapan pagi sebelum ke agenda yang seterusnya.

Pada pukul 9.15 pagi, ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis iaitu Puan Norazlina Md Jazli diikuti dengan ucapan ringkas daripada Puan Siti Nur Hasina daripada UNUSA selaku wakil penganjur program. Seterusnya, sesi pemberian cenderahati berbentuk sijil dan hamper makanan oleh Puan Siti Nur Hasina kepada pihak PAWE iaitu kepada Tuan Haji Masri. Sesi ceramah pertama dimulakan pada pukul 9.30 pagi yang disampaikan oleh pensyarah UNUSA iaitu Puan Andikawati Fitriasari dengan tajuknya “Effects to improve the mental health of the elderly through early detection, education and therapeutic group therapy”. Kesemua peserta, iaitu seramai 25 orang amat teruja mendengar ceramah yang disampaikan oleh beliau yang berkisarkan penjagaan kesihatan mental dalam kalangan warga emas. Beliau juga menasihatkan peserta agar tidak terlalu memikirkan masalah yang belum berlaku kerana ianya berupaya menyebabkan kejadian “anxiety” sekaligus menjejaskan kesihatan mental dan fizikal warga emas.

Ceramah kedua diteruskan pada pukul 10.30 pagi yang disampaikan oleh Dr. Eppy Setiyowati dengan tajuk ceramah “New normal behavior pasca Covid19 to prevent transmission of pulmonary TB to geriatrics at Malaysia”. Beliau menekankan berkaitan peningkatan penyakit berjangkit Tuberkulosis terutama dalam kalangan warga emas pasca pandemik Covid dan cara untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti. Beliau juga menekankan tentang amalan mencuci tangan dengan betul bagi mengelakkan jangkitan. Seperti hari sebelumnya, kedua-dua sesi ceramah diakhiri dengan lima soalan kuiz oleh penceramah bagi menguji tahap kefahaman peserta dan kesemua peserta yang menjawab soalan dengan betul diberikan hadiah oleh pihak penganjur. Program berakhir pada pukul 12 tengah hari dan sekali lagi peserta program dihidangkan dengan makanan tengah hari. Sebelum bersurai, sesi bergambar antara penganjur dan peserta telah diadakan dan kesemua peserta amat mengharapkan kunjungan kami lagi kerana ilmu yang dikongsikan amat bermanfaat untuk mereka.