Program Mau’izah Siri Julai 2024 di BPPA : Kesihatan Mental Dalam Kaedah Psikospiritual Islam

Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) bersama Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI), UiTM telah menganjurkan Program Mauizah Bulan Julai 2024 untuk semua warga BPPA.  Program ini diadakan di Bilik Mesyuarat BPPA dan telah disampaikan oleh Ustazah Nurul Afidah Awang, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.  Program telah diadakan pada 26 Julai 2024 dan bermula pada jam 8.30 pagi. Tajuk program Mauizah kali ini adalah “Kesihatan Mental Dalam Kaedah Psikospiritual Islam”.  Antara intipati ceramah adalah definisi kesihatan mental sendiri iaitu keadaan kesejahteraan secara menyeluruh (fizikal, mental dan sosial) di mana individu menyedari keupayaan sendiri, dapat mengatasi tekanan normal, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat dan mampu memberi sumbangan kepada komuniti.

Ustazah Afidah juga menerangkan elemen Pengurusan Kesihatan Mental Psikospiritual terbahagi kepada empat (4) iaitu pengurusan keimanan, ibadah, ihsan dan akhlak.  Pendekatan holistik dalam Islam memerlukan integrasi antara kesihatan rohani dan jasmani dalam Islam, rohani yang perlu diisi dengan pengabdian kepada Allah; amalan minda atau akal yang perlu diisi dengan pengetahuan; amalan fizikal yang perlu diisi dengan riadah; amalan pemakanan yang perlu diisi dengan perkara yang halal dan gaya hidup yang perlu diisi dengan amalan yang sihat.

Psikospiritual dalam Islam menekankan keseimbangan dan kesucian jiwa serta hubungan yang mendalam dengan Allah SWT sebagai asas kesihatan mental yang optimal.  Islam meletakkan akal pada kedudukan yang tinggi. Oleh yang demikian, Islam telah meletakkan kaedah-kaedah tertentu untuk memastikan akal yang diberikan terus terpelihara pada landasan yang sewajarnya. Program berakhir pada jan 9.00 pagi.  Program seumpama ini diharapkan sedikit sebanyak akan membantu memberikan bimbingan dalam pengurusan kesihatan mental kita kepada semua warga BPPA yang hadir.