SMARTS DAY – Program Inovasi Pertanian Pintar Anjuran Pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi

28 Jun 2024 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) telah menganjurkan Program Inovasi Pertanian Pintar yang melibatkan penyertaan aktif pelajar program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pintar Pengeluaran Tanaman dengan Kepujian (AT228). Tujuan utama program ini dianjurkan adalah bagi memberikan  peluang kepada para pelajar untuk mempamerkan projek inovasi mereka yang menggunakan teknologi terkini seperti sistem pengairan pintar, penggunaan drone untuk pemantauan tanaman, dan aplikasi mudah alih untuk pengurusan ladang.

Penghasilan produk inovasi merupakan salah keperluan dalam penilaian kod kursus yang perlu diselesaikan oleh pelajar program AT228 ini. Antara kod kursus yang mewajibkan penghasilan produk inovasi adalah Introduction to Agricultural Programming (AGV478) dan Capstone Project I (FPA618). Projek inovasi ini juga akan diselia oleh para pensyarah yang mempunyai kepakaran didalam bidang kejuruteraan dan teknologi pertanian.

Penghasilan produk inovasi ini membolehkan pelajar memperoleh kemahiran praktikal dalam bidang teknologi pertanian dan mendorong mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dalam menghasilkan idea-idea baru bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian. Mereka juga dapat meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja serta lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dalam industri pertanian yang semakin kompetitif.