Karnival Pendidikan Kerjaya Murid 2024: Menyemai Kejayaan Melalui Pendidikan dan Seni

JITRA, 2 Julai 2024– Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah menganjurkan & Karnival Pendidikan Kerjaya Murid – Sharing University & Information for Enhance Students Success (SUKSES) 2024 telah berlangsung di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra, Kedah. Acara ini telah menarik minat pelajar dari pelbagai sekolah menengah di sekitar negeri Kedah, yang bersemangat untuk meneroka pelbagai hala tuju pendidikan dan kerjaya.

Salah satu sesi yang paling menarik perhatian adalah sesi perkongsian yang memberi tumpuan kepada hala tuju dalam bidang seni halus. Sesi ini menekankan pentingnya pendidikan seni di peringkat sekolah menengah dan bagaimana ia boleh membuka pelbagai
prospek pekerjaan yang menarik dan berdaya saing. Pendidikan di peringkat sekolah menengah memainkan peranan yang kritikal dalam
membentuk asas pengetahuan dan kemahiran pelajar. Dalam sesi perkongsian ini, penekanan diberikan kepada bagaimana pendidikan seni halus dapat mengembangkan kreativiti, pemikiran kritis serta kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.

Pendidikan seni bukan hanya tertumpu mengenai melukis atau mencipta karya seni sahaja, malah tetapi ia juga melibatkan pemahaman mendalam tentang sejarah seni, teori warna, dan teknik seni yang pelbagai. Universiti Teknologi MARA (UiTM) memainkan peranan penting sebagai salah satu institusi pengajian tinggi yang menawarkan program seni halus. UiTM dikenali sebagai salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang menyediakan pendidikan dalam bidang seni halus melalui Kolej Pengajian Seni Kreatif.

UiTM menawarkan pelbagai peringkat dalam bidang seni halus, termasuk diploma, ijazah sarjana muda, dan juga peringkat pascasiswazah. Program-program ini direka untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal dan konseptual yang diperlukan dalam dunia seni, termasuk lukisan, seni cetak, arca, reka bentuk grafik, dan banyak lagi. Sebagai institusi yang aktif dalam perkembangan seni di Malaysia, UiTM juga menggalakan pelajar dengan peluang untuk terlibat dalam pameran seni, pertandingan, dan kolaborasi dengan artis profesional. Penglibatan UiTM dalam karnival ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar sekolah menengah tentang peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang seni halus yang ditawarkan oleh UiTM. Selain daripada penekanan kepada pendidikan, sesi  perkongsian ini juga menerangkan tentang pelbagai prospek pekerjaan dalam bidang seni halus. Antara kerjaya yang boleh diceburi termasuklah menjadi seorang artis profesional, kurator muzium, pereka grafik, pensyarah seni, dan banyak lagi. Para pelajar didedahkan dengan realiti industri seni yang luas dan peluang kerjaya yang boleh menjanjikan masa depan yang cerah dan bermakna. Keistimewaan dalam bidang kerjaya seni halus adalah peluang untuk mengekspresikan diri secara kreatif serta memberi impak positif kepada masyarakat. Melalui kerjaya seni, seseorang boleh menyumbang kepada perkembangan budaya, memperkayakan warisan seni, dan mendidik generasi akan datang tentang betapa pentingnya seni dalam kehidupan seharian. Penceramah turut berkongsi pengalaman mereka sebagai artis dan juga sebagai seorang pensyarah dalam bidang seni halus,ia sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi
kepada pelajar untuk mengejar impian mereka dalam bidang seni.

Sesi perkongsian ini turut diisi dengan nasihat dan motivasi kepada para pelajar. Penceramah menekankan pentingnya usaha gigih, kesabaran, dan keazaman dalam mencapai kejayaan. Mereka juga menasihatkan pelajar untuk sentiasa terbuka kepada pembelajaran baru dan tidak takut untuk mengambil risiko dalam mengejar minat mereka. Akhir sekali, sesi ini menekankan bagaimana kerjaya dalam seni halus boleh memberi sumbangan besar kepada organisasi, masyarakat, dan kehidupan individu. Melalui seni, seseorang boleh menyampaikan mesej penting, menggalakkan perubahan sosial, dan meningkatkan kualiti hidup orang lain. Kerjaya dalam seni bukan sahaja memberikan kepuasan peribadi malah, berperanan penting dalam membina masyarakat yang lebih baik dan harmoni.

Karnival Pendidikan Kerjaya Murid 2024 telah berjaya membuka mata para pelajar terhadap pelbagai peluang dalam bidang seni halus dan pentingnya pendidikan yang berterusan. Melalui perkongsian maklumat dan pengalaman dalam bidang seni, diharapkan para pelajar
dapat mengambil inspirasi dan motivasi untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya pilihan mereka. Acara ini juga mengukuhkan lagi komitmen Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dalam memastikan pelajar-pelajar mereka mendapat pendedahan yang luas dan berinformasi untuk masa depan yang lebih gemilang.