KPPIM Anjur Program Pameran Seni Autisme: Kreativiti Anak Autisme Mampu Jana Pendapatan

Shah Alam, 18 Jun 2024 – National Autism Resource Centre (NARC), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi berjaya menganjurkan Program Pameran Seni Autisme yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 7 Jun sehingga 9 Jun 2024 di pusat membeli belah AEON Mall, Shah Alam. Sejak pameran seni autisme ini dilancarkan pada tahun 2023, NARC, KPPIM telah membuka peluang dan ruang kepada anak-anak istimewa ini mempromosikan karya seni mereka. Secara tidak langsung, aktiviti karya seni ini menaikkan keyakinan dan motivasi diri anak-anak ini untuk terus berkarya dan mengasah bakat sedia ada mereka. Program ini telah dirasmikan secara digital melalui rakaman video oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc, Naib Canselor UiTM pada 8 Jun 2024 dan majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM dan juga persembahan dari NASOM Maestros.

Bagi menonjolkan bakat-bakat luar biasa ini, NARC KPPIM proaktif dalam mengasah bakat anak-anak autisme antaranya dengan mengadakan pelbagai program seperti Kelas Seni Autisme. Hasil-hasil karya seni inilah yang menjadi kesinambungan bagi Program Pameran Seni Autisme ini, di mana bakat luar biasa anak-anak Autisme diharapkan akan  mendapat perhatian yang sewajarnya. Program Seni Autisme pada kali ini melibatkan penyertaan seramai 26 anak autisme bermula seawal umur 7 tahun sehingga 15 tahun dengan mempamerkan 52 karya asli hasil daripada imaginasi dan kreativiti mereka. Para pengunjung boleh membeli hasil karya kreatif yang dipamerkan dan secara tidak langsung boleh meningkatkan motivasi golongan istimewa ini untuk terus berkarya dan mengasah bakat mereka serta mampu menjana pendapatan.

Penulis: Nur ‘Ainina Awang, Sanizah Ahmad, Hezlin Aryani Abd Rahman, Muhammad Azri Mohd