Program “RM3 to Charity: Toward A Caring Society”

7 Jun 2024 – Telah berlangsung sebuah program bertemakan keusahawanan dan Kebajikan. Program diberi nama “RM3 To Charity: Toward A Caring Society” di di Lobi Lueceana, Bangunan Fast Track, UiTM Cawangan Pahang. Program ini telah dianjurkan oleh sekumpulan 22 orang pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan (BA262) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang. Seawal jam 8:00 pagi, program yang terbuka kepada semua kakitangan dan pelajar UiTM Cawangan Pahang ini telah mula menerima kunjungan pembeli di gerai-gerai jualan yang dikendalikan sendiri oleh pihak penganjur program. Terdapat beberapa gerai jualan antaranya, gerai makanan dan pemanis mulut, gerai minuman, gerai jualan pakaian terpakai, gerai jualan barangan perhiasan dan cenderahati. Selain itu, terdapat juga gerai “Sedekah Jumaat” yang turut memberi peluang kepada kakitangan Pusat Pengajian untuk bersedekah sambil menyumbang kepada Tabung Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dengan membeli dan menyumbangkan semula pek makanan tersebut secara percuma kepada para pelajar.

Program yang berakhir pada jam 1:00 petang ini telah berjaya mengumpulkan hasil jualan seperti yang telah disasarkan. Kesemua hasil keuntungan yang diperolehi telah disumbangkan terus kepada wakil pelajar OKU Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi iaitu Saudari Che Nur Syamimiy Aqhilah Che Mohd Zaidi semasa acara perasmian penutupan majlis yang telah disempurnakan oleh Puan Nor Farhana Mohd Azmi, Koordinator Program Ijazah, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Pahang.

Selain daripada memenuhi keperluan kod kursus EVM490 (Pengurusan Acara dan Amalan) yang perlu diambil oleh pelajar semester dua program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan (BA262) di mana mereka perlu mengaplikasikan segala ilmu yang telah mereka pelajari di dalam kelas, program ini juga turut dijalankan dengan objektif untuk membentuk mahasiswa UiTM yang prihatin terhadap golongan pelajar Orang Kurang Upaya yang juga merupakan sebahagian dari komuniti yang wujud di dalam kampus universiti. Program ini turut memberi peluang kepada pihak penganjur untuk mengasah bakat mereka di dalam bidang keusahawanan di mana mereka perlu merancang dari awal tentang strategi pemasaran serta melaksanakan sendiri proses jual beli sepanjang program berlangsung. Kesemua objektif program seperti yang tersebut di atas telah berjaya memenuhi pencapaian SDG 4 (Quality Education) UiTM. Adalah diharapkan agar kesedaran terhadap kebajikan golongan OKU di kalangan mahasiswa menjadi lebih meningkat melalui program ini dan seterusnya diharapkan dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja berjaya di dalam akademik tetapi juga mempunyai nilai murni yang tinggi.