Webinar: Optimizing Patient Outcomes Through Integrated Clinical Tools in Critical Care 2024

6 Julai 2024 (Sabtu) –  Webinar oleh Pusat Pengajian Kejururawatan, UiTM Kampus Puncak Alam dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Webinar bertajuk “Optimizing Patient Outcomes Through Integrated Clinical Tools in Critical Care 2024” ini diadakan secara atas Talian (Webex) dan disertai seramai 67 peserta yang terdiri daripada jururawat dari pelbagai institusi kesihatan.

Objektif webinar ini adalah untuk mempertingkatkan pemahaman dan penggunaan alat klinikal yang berkesan dalam persekitaran rawatan kritikal, melalui perkongsian strategi, amalan berasaskan bukti, dan kajian kes untuk mengoptimumkan hasil pesakit dan meningkatkan kualiti penjagaan keseluruhan.

Aktiviti webinar di mulakan dengan bacaan doa serta ucapan aluan pengerusi majlis. Sesi Perkongsian Pertama oleh Dr. Wan Marina Wan Ismail, Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Kejururawatan, Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam. Perkongian beliau yang bertajuk “Quality Nursing in Critical Care and Effective Leadership” menyentuh tentang kepentingan kejururawatan berkualiti dalam rawatan kritikal dan kepimpinan yang efektif.

Sesi kedua disampaikan oleh Dr. Faten Aqilah Binti Aris, Pakar Kardiologi Klinikal dari Institut Jantung Negara yang bertajuk “Navigating Hemodynamic Challenges: Strategies for Optimal Patient Stability and Outcomes”. Beliau dalam ceramahnya menekankan kepentingan pemantauan hemodinamik yang berkesan dalam menstabilkan pesakit kritikal dan mencapai hasil yang optimal.

Sesi yang ketiga bertajuk “Optimizing Pain Management and Patient Comfort Through CPOT (Critical-Care Pain Observation Tool)” telah disampaikan oleh Matron Wan Rogayah Wan Salleh, Penyelia Jururawat, Anesthesiologi & Perawatan Kritikal dari Hospital Kuala Lumpur. Beliau telah memperincikan penggunaan CPOT untuk pengurusan kesakitan dan keselesaan pesakit di Unit Rawatan Rapi.

Sesi seterusnya disambung oleh Matron Nurasmayanti Leman, Penyelia Jururawat dari Unit Rawatan Rapi Kardiotorasik, Hospital Serdang. Perkongsian yang bertajuk “Empowering Ventilator Management: Optimizing Patient Care and Outcomes” menjelaskan tentang strategi pengurusan ventilator yang berkesan untuk meningkatkan penjagaan pesakit kritikal dan hasil rawatannya.

Sesi yang terakhir bertajuk “Enhancing Patient Safety and Outcomes Through Care Bundles in Critical Care” yang disampaikan oleh Nor Reza binti Ariffin, Pengajar Kejururawatan, (Pengkhususan Advance Diploma Intensive Care) dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh. Dalam perkongsiannya, beliau membincangkan cara melaksanakan ‘care bundles’ yang betul dan berkesan kepada pesakit yang dirawat menggunakan bantuan pernafasan (mechanical ventilator) bagi meningkatkan keselamatan pesakit di Unit Rawatan Rapi.

Program ini berjaya mencapai objektifnya dengan meningkatkan pemahaman peserta mengenai penggunaan alat klinikal dalam rawatan kritikal. Para peserta juga telah mendapat ilmu yang boleh diaplikasikan dalam perawatan pesakit melalui kajian kes yang dikongsi, dan beberapa strategi baru telah diiktiraf untuk diimplementasikan dalam amalan klinikal harian mereka.

 Secara kesimpulannya, Program “Optimizing Patient Outcomes Through Integrated Clinical Tools in Critical Care 2024” ini telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan yang memberangsangkan dan perkongsian ilmu yang berharga. Diharapkan program ini akan terus memberi impak positif dalam amalan klinikal oleh para jururawat di area rawatan kritikal.