Program Kolaborasi dan Pemindahan Ilmu Tani: UiTM Seri Iskandar & Masjid Bandar Universiti (MBU)

Seri Iskandar, Perak- 6 Julai 2024 – Telah berlangsungnya Program Kolaborasi dan Pemindahan Ilmu Tani antara Masjid Bandar Universiti (MBU) dan subjek kokurikulum Usahawan Tani (HGD145) UiTM Cawangan Perak. Ia merupakan program dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di lapangan bagi pelajar HGD145 (Usahawan Tani) daripada peringkat Diploma dan Ijazah semester dua. Program ini telah mendapat sokongan dan kelulusan daripada Unit Kokurikulum dan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.

Program ini melibatkan seramai 40 pelajar, jurulatih subjek HGD145 (Dr Wan Noor Anira Binti Hj Wan Ali @ Yaacob), kumpulan Urban Farming Masjid Bandar Universiti yang diketuai oleh Encik Azahari Mohamad Ali dan Encik Zaudi Lebai Mat serta 9 wakil muslimat daripada Biro Wanita & Pembangunan Keluarga Masjid Bandar Universiti. Program ini turut dihadiri oleh Ketua Unit Kokurikulum UiTM Kampus Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak (Puan Hadijah Binti Salleh).

Pengisian utama program ini untuk memberi pengetahuan teknik asas dan amalan pertanian mesra alam kepada pelajar. Taklimat khusus kepada pelajar HGD145 telah disampaikan oleh Encik Zaudi Lebai Mat. Pelajar juga didedahkan dengan kemahiran praktikal dan kerja lapangan khusus bagi kaedah penanaman dan penjagaan sayuran hidroponik serta fertigasi cili. Penerangan tatacara bagi proses dan kaedah penanaman sayuran hidroponik dan fertigasi cili disampaikan oleh Encik Azahari Mohamad Ali. Setiap pelajar akan melaksanakan proses penanaman sayuran hidroponik bermula daripada pemilihan medium tanah, memasukkan tanah ke dalam bekas tanaman, penyediaan lubang tanaman, pemilihan benih dan cara menanam benih pokok, penggunaan baja yang sesuai serta teknik siraman dan pengairan kepada benih tanaman.

Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman praktikal dalam bidang pertanian serta memupuk minat dan kesediaan mereka untuk menjadi usahawan tani. Ia juga sebagai inisiatif dalam menyokong lonjakan Pendidikan Tinggi bagi melahirkan graduan yang holistik, seimbang dengan minda keusahawanan dan kemasyarakatan. Hasil program ini juga telah merealisasikan indeks prestasi UiTM Kampus Seri Iskandar dalam mencapai PI023, PI039, PI075, PI079 dan SDG (Sustainable Development Goal) – SDG 3: Good Health and well-being dan SDG4: Quality Education.

Program kolaborasi dan pemindahan ilmu ini juga menyediakan platform untuk para pelajar berinteraksi dengan pakar industri, usahawan tani, dan akademia serta menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman antara pelajar dan pihak berkepentingan dalam sektor pertanian.