‘AlphaCubbies’ Raih Anugerah Emas Pada Pertandingan Inovasi INDES 2024 anjuran UiTM Perak

SERI ISKANDAR, 13 Jun 2024 – Dewan Seri Iskandar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar telah menjadi saksi kepada kehebatan kreativiti dan inovasi dalam pertandingan ‘The 13th International Invention, Innovation & Design Competition (INDES 2024)’. Acara tahunan ini, merupakan anjuran UiTM Cawangan Perak, bertujuan menggalakkan inovasi dan reka cipta dalam kalangan peserta dari pelbagai latar belakang, baik dari dalam mahupun luar negara.

Pertandingan tahun ini telah menarik sebanyak 152 penyertaan yang terdiri daripada warga institusi pengajian tinggi (awam dan swasta), pemain industri, serta pelajar sekolah. Para peserta telah mempamerkan ciptaan dan idea-idea kreatif mereka untuk merebut pelbagai anugerah yang dipertandingkan, termasuk Anugerah Emas, Perak, dan Gangsa; Anugerah Best of the Best Mengikut Kelas Penyertaan; Anugerah Pemenang Keseluruhan (Anugerah Diamond); dan Anugerah Inovasi Antarabangsa.

‘AlphaCubbies’ antara produk yang telah berjaya merangkul Anugerah Emas di dalam pertandingan ini. ‘AlphaCubbies’ merupakan gabungan perkataan ‘Alphabet’ dan ‘Cupboard’, yang direka khusus untuk menarik minat anak-anak istimewa memulakan sesi terapi dengan emosi gembira dan membantu mereka mengenal huruf dengan lebih mudah selain sebagai latihan awalan literasi. Berdasarkan kajian terdahulu, kanak-kanak istimewa sering menghadapi kesukaran yang signifikan dengan peralihan aktiviti atau lokasi kerana mereka sukar menerima perubahan.

Kejayaan ‘AlphaCubbies’ di INDES 2024 diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada pelajar dan penyelidik lain untuk terus berkarya dan berinovasi. Program ini sekali lagi membuktikan kepentingan pertandingan seperti ini dalam memupuk semangat inovasi dan kreativiti dalam kalangan peserta. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi dan ciptaan yang memberi manfaat kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Penulis Bersama:

Norita Abdul Kadir (KPSK, UiTM Perak)

Syahrul Nizam Shaari (KPSK, UiTM Perak)

Nurain Mohd Talmizi (KAB, UiTM Perak)

Siti Ermi Syahira Abdul Jamil (KPSK, UiTM Perak)

Nur Farah Amira Syahrul Nizam (FSK, UiTM Selangor)