Sinergi UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd dalam Membangun Bakat Jurutera Masa Hadapan

PULAU PINANG, 22 Jun 2024 – Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan program Santai Kampus CEO Talk yang disampaikan oleh YBhg Dato’ Mohd Sahil Bin Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kulim Technology Park Corporation (KTPC) Sdn Bhd. Program yang berlangsung di Dewan Banquet, Hotel UiTMCPP ini dihadiri oleh 100 pelajar tahun akhir dari empat pengajian kejuruteraan di sini.

Objektif utama sesi perkongsian ini adalah untuk memperkenalkan Kulim Technology Park Corporation (KTPC) Sdn Bhd kepada para pelajar serta menjelaskan tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh 49 syarikat berteknologi tinggi yang beroperasi di kawasan Kulim Hi-Tech Park. Sebagai hab inovasi utama Malaysia, Kulim Hi-Tech Park memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan teknologi dan ekonomi negara.

Dato’ Mohd Sahil Bin Zabidi berkongsi pengalaman dan pengetahuan beliau dalam industri teknologi tinggi, memberikan inspirasi dan motivasi kepada para pelajar yang bakal bergraduasi. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara universiti dan industri untuk memastikan ilmu yang diperoleh di dalam bilik kuliah dapat diaplikasikan dengan efektif di dunia pekerjaan. Beliau juga menasihati para pelajar untuk memanfaatkan peluang ini dengan membina rangkaian (networking) bersama wakil industri yang hadir. Beliau juga menekan isu kekurangan bakat jurutera berkualiti di kalangan graduan bagi mengisi kekosongan jawatan di syarikat-syarikat ini.

Program ini dianjurkan bersama oleh Kulim Technology Park Corporation (KTPC), Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Masyarakat UiTM Cawangan Pulau Pinang, dan Unit Kerjaya dan Kaunseling UiTM Cawangan Pulau Pinang. Sokongan dan kerjasama daripada semua pihak ini adalah kritikal dalam menjayakan program yang bermakna ini.

Dalam ucapan penutupnya, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Ir Dr Haji Ahmad Rashidy Razali, mengucapkan terima kasih kepada KTPC atas sumbangan kewangan dan sokongan penuh dalam program ini. Beliau berharap agar program Santai Kampus CEO Talk ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Kulim Technology Park Corporation.

Program ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada para pelajar dari segi pendedahan terhadap peluang pekerjaan tetapi juga mengeratkan hubungan antara industri dan universiti. Dengan kerjasama yang erat, diharapkan lebih banyak inisiatif dapat diambil untuk meningkatkan bakat masa hadapan negara yang bekerja sebagai jurutera di Taman Teknologi Tinggi Kulim khususnya.