Lawatan Akademik ke Wisma E-Idaman Sdn Bhd (EISB), Kedah

24 Jun 2024 – Satu lawatan Akademik telah diadakan ke Wisma E-Idaman Sdn Bhd (EISB), Kedah pada hari ini. Lawatan ini melibatkan para pelajar yang mengambil kursus GSS682 (Professional Practice) dan merupakan salah satu keperluan silibus yang bertujuan untuk memberikan pengalaman pembelajaran dan pendedahan secara langsung dalam persekitaran yang sebenar dalam amalan keprofesionalan khususnya dalam bidang geomatik.

Lawatan ini melibatkan tiga orang Pensyarah Kanan dari Kolej Pengajian Alam Bina yang diketuai oleh Sr Gs Dr Fazly Amri Bin Mohd, Sr Dr Mohd Adly Bin Rosli dan Sr Mohd Khairy Bin Kamaruddin serta 60 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Ukur dan Geomatik (AP220), semester 7.

Ketibaan ahli rombongan telah disambut oleh kakitangan Wisma E-Idaman Sdn Bhd (EISB). Selepas itu, satu sesi taklimat dari pihak EISB telah diberikan oleh En. Abdul Rahman Bin Yahya, Ketua Bahagian Sistem dan Pemantauan, Syarikat E-Idaman. Selama hampir 2 jam sesi berlangsung, para rombongan telah diberikan sedikit mengenai skop pengurusan kerja bidang GIS yang dipraktik selain memberi pendedahan sistem pengurusan sisa pepejal di wilayah Utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

E-Idaman Sdn Bhd telah menyampaikan perkhidmatan alam sekitar yang terbaik untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat yang semakin meningkat. Sehingga kini, EISB telah berjaya beroperasi di Negeri Perlis dan Kedah, yang meliputi 13 pihak berkuasa tempatan lebih daripada 300,000 premis, dengan 6,000 pekerja. Pada akhir sesi lawatan, pihak EISB berkesempatan memberi penerangan dan pengunaan alat UAV kepada para rombongan.

Hasil lawatan akademik ini, para pelajar bukan sahaja dapat memperkukuh pengetahuan akademik mereka, tetapi juga memberikan pengalaman berharga yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah. Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk belajar tentang pengurusan sisa pepejal, malah ianya juga dapat membina hubungan melalui kerjasama UiTM bersama dengan industri dengan erat.