Langkawi: Di dalam usaha untuk menyumbang kepakaran kepada komuniti, mahasiswa dari Jabatan Pelancongan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), Universiti Teknologi MARA, Kampus Puncak Alam telah bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Jabatan Alam Sekitar Langkawi dalam menjayakan lawatan akademik ini.
Lawatan yang belangsung selama 4 hari ini (Mei 17 – Mei 20) bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kelestarian dari aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar. Pada masa yang sama, program ini bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang berfikiran kreatif dan intelektual.
Lawatan ini turut melibatkan mahasiswa di dalam aktiviti pemindahan ilmu dan khidmat masyarakat, dengan cara berkongsi ilmu pengetahuan dengan pegawai agensi tentang Langkawi UNESCO Global Geopak, yang terawal diiktiraf oleh UNESCO pada tahun 2007. Satu aktiviti pemindahan ilmu telah dijalankan, melalui sesi dialog bersama mahasiswa dengan pegawai LADA dan JAS.
Selain itu, mahasiswa turut terlibat di dalam aktiviti penyemaian kawasan santuari bakau di Kilim dan pembersihan sampah di sekitar dan kawasan persisiran Pantai Berdengung, Langkawi. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada usaha menjayakan pelaksanaan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dan University Social Responsibility (USR) bersama LADA dan JAS. Justeru komitmen, kesedaran dan kerjasama mahasiswa dalam bidang pelancongan melalui tugas-tugas yang dipertanggungjawab ke atas mereka dapat ditingkatkan. Di samping memenuhi keperluan asas kursus subjek Sustainable Tourism Management, mahasiswa berpeluang melihat sendiri dan menghayati pelbagai peninggalan sejarah di sekitar Langkawi yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai World Heritage Site.
Jalinan hubungan bersama agensi kerajaan seperti LADA dan JAS juga turut dapat diperkukuhkan di antara kedua-dua pihak. Di antara tempat dan kawasan yang telah dilawati oleh mahasiswa UITM ini termasuk kunjungan ke Geopark, yang merujuk kepada kawasan dengan tapak warisan geologi yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi tujuan pemeliharaan , pendidikan dan pembangunan secara lestari.