Puncak Alam, 21 April 2024 – Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi MISA 2024 pada 18 April 2024.
Program yang diadakan secara bersemuka di Dewan Kuliah 4, FSK 7 ini bermula pada jam 2 petang hingga 5 petang, melibatkan 10 orang Majlis Tertinggi dan 49 orang Ahli Exco MISA bagi sesi 2023/2024.
Menurut Presiden MISA 2024, Nur Syafiah Binti Baharin, tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknik pengurusan organisasi yang betul dan sistematik.
“Program ini dapat membantu menyelaraskan sistem pengurusan organisasi MISA, format surat-menyurat dan cara bekerja berpasukan. Ia juga dapat meningkatkan fleksibiliti dan daya maju organisasi,” jelas Nur Syafiah.
Antara perkara yang dibentangkan termasuk penerangan kertas kerja oleh Presiden MISA, surat-menyurat dan e-sijil oleh Setiausaha Agung MISA & Juruaudit 2 MISA, serta pengurusan kewangan oleh Bendahari Kehormat dan Timbalan Bendahari MISA.
Naib Presiden 2 MISA, Muhammad Syahir Bin Mohd Salleh, turut membentangkan skop setiap biro program dan takwim program tahunan MISA yang bakal dijalankan sepanjang sesi 2023/2024.
Program tersebut berakhir dengan ucapan perasmian penutup dan kata-kata semangat daripada penasihat persatuan, Puan Khairunnisa Binti Abd Manan.
Secara keseluruhan, program ini dilihat sebagai inisiatif yang sangat bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan pelajar dalam mengurus tadbir organisasi, sekaligus melahirkan pemimpin yang telus dan ikhlas dalam bekerja.