International Colloquium on Public Health, Food Security and Climate Change

7 Mei 2024, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam: Program “International Colloquium on Public Health, Food Security and Climate Change” yang dianjurkan bersama oleh Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam dan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM) telah berlangsung dengan jayanya.

Bertemakan ‘The Impact of Climate Change on the Sustainability of Public Health and Food Security”, penganjuran kolokium antarabangsa ini diharap dapat memberi gambaran semasa mengenai isu global, menghasilkan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing serta mampu menghadapi cabaran kesihatan global. Selain itu, pertukaran intelektual dan libatsama komuniti ini adalah penting untuk mengiktiraf kuasa kerjasama dalam memacu perubahan positif melalui himpunan penyelidik, pengamal, penggubal dasar dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan disiplin.

Program kolokium yang berlangsung selama dua hari ini telah bermula pada 6 Mei 2024 di Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM dan bersambung ke hari kedua pada 7 Mei 2024 di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam yang melibatkan peserta dari Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM dan Universitas Airlangga, Indonesia. Jumlah peserta secara keseluruhan melebihi 150 orang. Pada edisi kolokium kali ini, ketiga-tiga universiti menampilkan tenaga pakar, penyelidik dan pelajar bagi berkongsi kepakaran membincangkan solusi mengenai kesan perubahan iklim terhadap kelestarian kesihatan awam dan jaminan makanan, termasuk menonjolkan kepentingan tindakan kolektif dalam menangani isu global ini.

Majlis penutup kolokium yang diadakan pada hari kedua telah dirasmikan oleh Penolong Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam, En Amir Heberd Abdulullah. Pihak UiTMCPP Kampus Bertam mengucapkan penghargaan kepada pihak delegasi Universitas Airlangga terutamanya kepada wakil dekan, Dr Ratna Dwi Puji Astuti, dari Fakultas Kesehatan Masyarakat. Seramai 25 orang pensyarah dan pelajar telah berjaya membuat perbentangan kajian saintifik bertemakan: “The Impact of Climate Change on Sustainability of Public Health and Food Security”.