Program “3R Training & Workshop” Serlahkan Bakat Pelajar BEVA

SEREMBAN, 16 Mei 2024 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) telah menganjurkan program “3R Training & Workshop” sempena “ASCAR Sustainability Day dan Administrative Science Carnival (ASCAR) 2024 yang telah dijalankan pada 16 Mei 2024 di Bilik Koleksi Akses Terhad dan di kawasan Foyer Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Kampus Seremban. Tujuan utama program ini adalah untuk mendidik para pengunjung untuk beralih dari konsep 3R kepada 5R melalui pameran, aktiviti interaktif dan aktiviti secara amali.

Program yang julung kali diadakan ini melibatkan 3 komponen latihan utama iaitu: Modul 1 – Bergerak dari 3R ke 5R, Modul 2 – Mengenal pasti barangan yang boleh dikitar semula dan Modul 3 – Sesi demonstrasi melalui pelbagai bengkel yang berbeza. Pembinaan modul latihan program ini telah dilakukan oleh pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226) sendiri untuk membolehkan mereka memberikan advokasi berkaitan SDG ke-12 iaitu “Responsible Consumption & Production” kepada para pengunjung. Dianggarkan seramai 100 orang pelajar dari Kampus UiTM Kampus Seremban telah menyertai sesi latihan dan bengkel 3R tersebut untuk mendapatkan ilmu baharu berkaitan konsep 5R, mengenal pasti jenama produk plastik yang menyumbang kepada pencemaran dan mempelajari cara memanfaatkan barangan terpakai seperti fabrik yang diperbuat daripada plastik menggunakan konsep “upcycling & plastic fusing”.

Diantara pengisian yang menarik perhatian para pengunjung adalah untuk bersama-sama mencuba menghasilkan pelbagai produk baharu daripada barangan yang boleh dikitar semula seperti beg, bakul dan apron yang diperbuat melalui proses anyaman serta cantuman plastik menggunakan teknik pemanasan. Menurut ketua projek program ini, Saudara Mohamad Khairi Akwa Bin Mohd Yusdy, keunikan program 3R Training & Workshop anjuran persatuan BEVA adalah variasi idea bengkel dan produk upcycle yang telah dicipta oleh pelajar-pelajar program AM226 itu sendiri. Pelajar juga dibenarkan berkreativiti melalui aktiviti lain seperti Papier Mache dan Enviro Stamping.

Hasil daripada latihan dan bengkel tersebut, persatuan BEVA telah berjaya memupuk kesedaran dikalangan pelajar FSPPP dan UiTM Kampus Seremban untuk menjaga kelestarian alam sekitar ke arah yang lebih mampan. Pada masa yang sama program ini dapat memperkasakan peranan pelajar universiti untuk memberikan advokasi berkaitan pembangunan mampan melalui cara yang lebih menarik. Tindakan ini merupakan salah satu langkah strategik dalam memasyarakatkan program-program yang mempunyai elemen-elemen Sustainable Development Goals (SDG).

Secara keseluruhannya, program ini telah memenuhi keperluan tiga SDG yang utama iaitu SDG4 (Quality Education), SDG9 (Industry, Innovation, and Infrastructure) dan, SDG 12 (Responsiple Consumption and Production). Program ini juga menepati pencapaian PI028 (Program Melibatkan Aktiviti Kesukarelawanan), PI029 (Program Berteraskan Kepimpinan) serta PI038 (Program Berkaitan Patriotisme dan ESI-IDART). Namun yang paling penting, program ini telah berjaya melahirkan masyarakat mampan yang boleh mengamalkan cara hidup yang lebih lestari.