Program “Recyclable Waste Collection And Campaign” Meriahkan Lagi Administrative Science Carnival (ASCAR) 2024

SEREMBAN, 17 Mei 2024 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) telah menganjurkan program “Recyclable Waste Collection and Campaign” yang telah dijalankan pada 13 sehingga 17 Mei 2024 di kawasan Pusat Kegiatan Pelajar dan Foyer Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Kampus Seremban. Tujuan utama program ini diadakan adalah sebagai salah satu usaha dan inisiatif persatuan BEVA bagi memupuk dan menerapkan nilai kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga UiTM dan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) khasnya.

Program ini dilihat sebagai program induk FSPPP Lestari bagi tahun 2024, dimana melalui program ini pihak persatuan BEVA berhasrat untuk menjadikan kawasan FSPPP sebagai zon bebas plastik. Hal ini bagi menggalakkan para pelajar dan juga pensyarah untuk tidak membawa dan membuang sampah yang bersumberkan plastik di kawasan fakulti. Diharap dengan usaha, FSPPP akan diiktiraf sebagai pelopor kempen bebas plastik di peringkat UiTM Kampus Seremban khususnya. Projek ini juga selari dengan Amanat Naib Canselor UiTM 2024 yang berhasrat supaya UiTM mengekalkan konsep 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) serta menginspirasikan pelbagai inisiatif hijau dan keceriaan kampus melalui penyediaan pusat kitar semula.

Seramai lebih 50 orang pensyarah dan pelajar FSPPP telah mendermakan pelbagai jenis bahan kitar semula merangkumi kertas, plastik dan juga sisa elektronik. Menurut ketua projek program ini, Saudara Muhammad Amirul Aizat bin Mohd Rizal (Exco Sukan, Kebudayaan dan Kelestarian), keunikan program “Recyclable Waste Collection and Campaign” anjuran persatuan BEVA adalah menyediakan platform serta “one-stop centre” kitar semula kepada warga FSPPP dan seterusnya menerapkan cara hidup lestari dikalangan warga universiti. Program ini juga dilihat dapat memperluaskan sumber pendapatan kelab BEVA melalui penjualan barangan boleh kitar semula kepada pihak SWCorp melalui kerjasama dengan pihak SWCorp dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan.

Hasil daripada kutipan bahan kitar semula tersebut, persatuan BEVA telah berjaya menjana pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan untuk meneruskan aktiviti-aktiviti yang berteraskan kepada SDG. Menerusi program ini juga, persatuan Beva telah berjaya menghasilkan inovasi tong sampah kitar semula yang mesra kanak kanak di mana bertemakan haiwan. Ianya merupakan hasil kerja Sekretariat dibawah Exco Sukan, Kebudayaan dan Kelestarian BEVA iaitu Lukman Hakim bin Othman, Izza Anissa binti Mohd Yusof, Juwariyah binti Yusri dan Nadiatul Aisyah binti Abd Karim. Tong sampah kitar semula ini telah berjaya menarik minat kanak-kanak sekolah yang turut berkunjung ke booth untuk sama sama mempelajari tentang kepentingan kitar-semula. Hasil inovasi tersebut telah menarik perhatian YB Datuk Seri Haji Jalaludin bin Haji Alias, EXCO (Kanan) Kerajaan Negeri yang turut melawat ke booth BEVA sempena Perasmian Koridor Keusahawanan Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan.

Secara keseluruhannya, program ini telah memenuhikeperluan dua SDG yang utama iaitu SDG4 (Decent Work and Economic Growth), SDG11 (Sustainable Cities and Communities) dan SDG12 (Responsible Consumption and Production). Program ini juga menepati pencapaian PI038 (Jumlah program berkaitan nilai-nilai ESI-iDART), serta PI MASMED dalam melahirkan Pelajar Usahawan yang menjalankan perniagaan di kampus dan fakulti. Namun yang paling penting, program ini telah berjaya mewujudkan kesefahaman dikalangan warga fakulti untuk sama-sama mewujudkan alam sekitar yang lebih mampan melalui aktiviti-aktiviti kitar semula.