Gerai Keusahawanan “BEVA Empire” Meriahkan Lagi Fsppppreneurship Day

SEREMBAN, 17 Mei 2024 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) bersama-sama pihak MASMED Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah menganjurkan program keusahawanan FSPPPPreneurship Day yang berlangsung dari 13 sehingga 17 Mei 2024 di Pusat Kegiatan Pelajar (PKP) UiTM Kampus Seremban. BEVA melalui Exco Keusahawanan, Latihan dan Penjanaan Kewangan yang dikenali sebagai “BEVA EMPIRE” turut membuka gerai jualan sebagai salah satu langkah penjanaan pendapatan serta memberi peluang kepada pelajar AM226 mempromosikan produk makanan tempatan.

Dianggarkan seramai 300 orang pelajar dari Kampus UiTM Kampus Seremban telah memberikan sokongan dengan membeli juadah yang dijual di gerai BEVA Empire yang menyajikan pelbagai menu yang berlainan pada setiap hari. Menurut Ketua Projek program ini, Saudari Siti Khadijah Batrisyia Binti Roslin, BEVA Empire memilih untuk menjual makanan yang menepati cita rasa pelajar UiTM dengan sajian seperti Swedish meatball, Kek Batik Cheese Indulgence, Soft cookies dan lain lain lagi pada harga yang mesra pelajar. Jualan selama seminggu ini telah mendapat sambutan yang hangat oleh para pensyarah dan juga pelajar.

Hasil daripada jualan BEVA Empire tersebut, persatuan BEVA telah berjaya menjana pendapatan sendiri bagi menampung perbelanjaan untuk meneruskan aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan oleh BEVA di masa hadapan. Pada masa yang sama melalui program ini, ahli-ahli persatuan telah dapat mempelajari strategi perniagaan dan keusahawanan melalui pendekatan pemasaran, promosi dan jualan secara langsung kepada pembeli. BEVA EMPIRE juga menerapkan elemen kelestarian didalam strategi keusahawanan ini dimana mereka tidak menyediakan plastik dan menggalakkan pembeli untuk membawa bekas makanan sendiri.

Secara keseluruhannya, program ini telah memenuhi keperluan dua SDG yang utama iaitu SDG8 (Decent Work and Economic Growth), SDG12 (Responsible Consumption & Production) dan SDG4 (Quality Education). Program ini juga menepati pencapaian PI MASMED dalam melahirkan Pelajar Usahawan yang menjalankan perniagaan di kampus dan fakulti. Namun yang paling penting, program ini telah berjaya mewujudkan kesefahaman dikalangan warga fakulti dan untuk sama-sama memperluaskan sumber pendapatan kelab dan membantu pihak FSPPP untuk mencapai PI yang terpilih.