Dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara industri dan akademia terus dititikberatkan melalui kerjasama yang erat dalam usaha meningkatkan inovasi dan keunggulan kompetitif. Kolaborasi ini membawa manfaat besar kepada kedua-dua sektor dengan memperkaya pengajaran, penyelidikan, dan pembangunan produk inovasi.
Dengan itu, pada 2hb Mei 2024, wakil-wakil dari bidang Pengajian Pembinaan dan Ukur Bahan, Kolej Pengajian Alam Bina yang di ketuai oleh Dekan Akademik dan Antarabangsa, Profesor Madya Ts Dr Emma Marinie Ahmad Zawawi telah mengadakan sesi lawatan rasmi ke Menara Merdeka 118 yang merupakan bangunan mega tertinggi di Malaysia, 678.9 meter dan kedua tertinggi di dunia selepas Menara Burj Khalifah, Dubai dengan ketinggian 828 meter.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi inspirasi dan pendedahan kepada pensyarah berkaitan senibina, inovasi reka bentuk dan kejuruteraan bangunan ikonik ini. Kunjungan yang dianjurkan adalah sebahagian daripada program pembangunan profesional universiti, yang bertujuan untuk melengkapkan staf akademik dengan pengetahuan terkini dalam bidang alam bina.
Sebagai mercu tanda penting di Malaysia, menara ini juga menawarkan pemandangan Kuala Lumpur yang menakjubkan dari “observation deck” yang terletak di Tingkat 118. Menara Merdeka 118 ini juga baru sahaja di anugerahkan “Platinum Certification” daripada Leadership in Energy and Environmental Design (LEED), Amerika Syarikat. Anugerah ini adalah yang pertama dan julung kalinya dianugerahkan kepada bangunan tertinggi di Malaysia dan menjadikannya asas untuk penganugerahan seterusnya dalam menjadi menara yang pertama dianugerahkan sebagai “First Triple-Green Platinum Rated Mega-Tall Building”.
Sepanjang lawatan ini, para pensyarah telah diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tengku Dato’ Ab Aziz Tengku Mahmud tentang sejarah pra pembinaan, konsep reka bentuk, teknologi pembinaan yang digunakan, cabaran serta inovasi yang diterapkan dalam menjayakan projek pembinaan mega ini. Para akademik juga berpeluang melihat secara langsung tentang proses pembinaan dan fasiliti canggih yang digunakan. Dengan adanya kunjungan seperti ini, para akademik dapat melihat bagaimana konsep teori yang diajar di dalam kelas diaplikasikan dalam amalan sebenar industri. Justeru itu, ia memberi peluang kepada akademik dalam penyelarasan silibus pengajaran dengan keperluan semasa dalam industri.
Lawatan ini tidak hanya memberi peluang kepada para akademik untuk memperluaskan pengetahuan mereka dalam bidang kejuruteraan struktur, tetapi ia juga menggalakkan rasa keterujaan dan kebanggaan terhadap pembangunan di negara ini.
Selain daripada aspek kejuruteraan, lawatan ini juga turut memberikan tumpuan kepada aspek senibina dan rekabentuk bangunan tersebut. Struktur mega Menara Merdeka 118 ini juga turut mempunyai 8 tiang mega pada perimeter yang bersambung dengan struktur pusat melalui rasuk keluli di tiga lokasi pada ketinggian yang berbeza. Kekuda disambungkan kepada mega struktur ini untuk meyokong dan memberi kekuatan yang lebih baik. Menara ini juga tidak hanya terletak pada kesan visualnya tetapi juga pada kecekapan rekabentuknya di mana aspek kajian bebanan angin yang lebih ditekankan berbanding kajian seismik atau gempa bumi dengan menggunakan kaedah “3D space truss framing” di bahagian mercu menara setinggi 120 meter bagi menstabilkan tekanan angin. Aspek-aspek seperti ini memberi inspirasi kepada para akademik untuk mendorong kreativiti dalam pengajaran dan penyelidikan senibina di universiti.
Dari aspek akademik pula, lawatan ini juga turut memberi peluang kepada pasukan pengajar untuk memperluaskan rangkaian mereka dengan para profesional industri yang terlibat dalam pembinaan dan pengurusan Menara Merdeka 118. Ini membolehkan mereka mendapatkan pandangan yang mendalam tentang amalan terkini dalam bidang pengurusan pembinaan, kejuruteraan awam dan senibina. Oleh itu, interaksi dengan profesional industri adalah penting dalam memastikan bahawa kurikulum pengajian sentiasa relevan dan sejajar dengan keperluan industri semasa. Kerjasama ini juga dapat membuka pintu kepada lebih banyak peluang kerjasama penyelidikan dan pemindahan teknologi antara universiti dan industri.
Secara keseluruhan, lawatan rasmi ini merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan berharga dalam meningkatkan pengetahuan dan kefahaman para akademik dalam bidang pengurusan pembinaan, kejuruteraan, senibina, dan inovasi yang berkaitan dengan pembinaan. Diharapkan, pengalaman ini akan dapat membantu meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di universiti serta mendorong kerjasama yang lebih erat di antara universiti dan industri. Dengan adanya kunjungan seperti ini, para pensyarah dari Pengajian Pembinaan dan Ukur Bahan, Kolej Pengajian Alam Bina telah diberi peluang yang cukup bermakna untuk melihat dengan lebih dekat kemajuan teknologi yang melibatkan bidang pembinaan di dalam negara serta dapat memberi inspirasi dan pengetahuan yang berharga untuk dikongsi dengan pelajar di dalam bilik kuliah.