27 April 2024 – Hari Bumi Sedunia telah disambut melalui program ‘Coffee and Friends Festival: World Earth Day Sustainability’ di Centre Court AEON Mall Shah Alam. Program usaha sama antara KPPIM dan AEON Mall ini telah dimeriahkan dengan penglibatan 40 orang pelajar KPPIM. yang diketuai oleh Saudara Wan Shazmien Danieal Mohamed Faudzi, Presiden Sekretariat Mahasiswa KPPIM.
Bersama dalam majlis tersebut ialah Dekan Hal Ehwal Pelajar, KPPIM Encik Mohd Nazrul Mohd Amin. Beliau berkata, program seumpama ini perlu dijalankan dengan lebih kerap agar pelajar lebih cakna dan mempunyai rasa tanggungjawab kepada alam sekitar. Encik Nazrul juga menyeru agar para pelajar lebih aktif dalam aktiviti kesukarelawanan terutamanya program yang melibatkan masyarakat secara amnya.
Dalam menghayati sambutan ini, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM mengambil inisiatif untuk mendidik dan membudayakan rasa cintakan alam sekitar dengan menerapkan budaya kesukarelawanan di kalangan para pelajar. Inisiatif ini bukan sahaja memerlukan para pelajar menghayati kepentingan amalan Sustainable Development goals (SDG) malah mempersiapkan para pelajar untuk menyumbang tenaga, dan idea kepada yang memerlukan. Tambahan pula, program ini dapat menyuntik semangat tanggungjawab dan ambil peduli di kalangan masyarakat.
Turut serta dalam program ini ialah Puan Nurzeatul Hamimah Abdul Hamid, yang menjalankan tugas Dekan Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni KPPIM dan Dr Mohd Nizam Yunus, Ketua Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar HEP KPPIM. Pelbagai aktiviti menarik juga telah diadakan seperti bengkel maklumat, gerai interaktif dan perkongsian menarik mengenai tanaman.
Diharapkan agar lebih ramai lagi pelajar dapat menyertai program ini kerana sebagai ejen perubahan, maklumat dan penghayatan ini perlu dibawa dan dipanjangkan kepada generasi seterusnya agar bumi yang kita cintai ini tidak pupus dan musnah.